Tarikh-Tarikh Penting

Tarikh Penting

  • Mac, 21 - Hari Hutan Sedunia
  • Mac, 22 - Hari Air Sedunia
  • Mac, 23 - Hari Meteorologi Sedunia
  • April, 22 - Hari Bumi
  • Jun, 05 - Hari Alam Sekitar Sedunia
  • Okt., 08 - Hari Antarabangsa Pembasmian Kemusnahan Semula Jadi
  • Okt., 22-27 : Minggu Alam Sekitar Malaysia

http://img1.blogblog.com/img/icon18_wrench_allbkg.png

Tuesday, February 8, 2011

TEMA 4 : SISTEM HIDROLOGI

4.1 FASA AIR (Kuliah Kali : )

Tiga fasa proses perubahan air dan tenaga yang terlibat:

a. Cecair ( air)

b. Gas (wap air)

c. Pepejal (ais)

Proses sejatan/perwapan akan menukarkan cecair kepada wap air (gas).Pemejalwapan adalah proses menukarkan ais kepada bentuk wap air.Pencairan merupakan proses menukarkan ais kepada air. Air dalam bentuk wap dapat bertukar kepada keadaan cecair melalu proses pemeluwapan.Proses pembekuan akan menukarkan keadaan cecair kepada ais. Wap air dapat berubah kepada bentuk ais melalui proses pejalwapan.

4.2 KITARAN HIDROLOGI (Kuliah Kali : )

Proses Kitaran Hidrologi

Proses Mendatar Kitaran Hidrologi

i. Larian air permukaan

Larian air permukaan adalah baki air hujan yang mengalir di permukaan bumi setelah ditolak dengan yang mengalami sejatan, pintasan, susupan dan yang diguna oleh tumbuhan. Larian air permukaan berlaku setelah semua liang pori tanah tepu dengan air yang masuk ke dalam tanah. Air hujan tidak dapat lagi diserap sebaliknya mengalir dipermukaan bumi menuju ke sungai, tasik, kolam dan seterusnya ke laut.

ii. Aliran air bawah tanah

Air hujan yang menyerap ke dalam tanah akan disimpan di dalam tanah dalam satu sistem takungan yang dikenali akuifer. Air yang terdapat dalam takungan ini akan berfungsi sebagai aliran air bawah tanah menuju ke sungai, tasik, dan seterusnya ke laut.

iii. Alir lintang atmosfera

Pergerakan titisan air atau awan dari lautan ke daratan akibat ditiup oleh angin yang berpunca daripada perbezaan tekanan udara antara dua kawasan.

Proses Menegak Kitaran Hidrologi

i. Sejatan

Proses penukaran air daripada cecair kepada bentuk wap. Proses sejatan berlaku apabila tekanan wap di permukaan air lebih tinggi daripada tekanan wap dalam atmosfera yang belum mencapai peringkat tepu. Tenaga haba yang cukup diperlukan untuk sejatan di mana haba akan memanaskan air dipermukaan sungai, tasik, kolam, dan juga laut. Tenaga haba yang cukup akan menyebab molekul-molekul air bertukar kepada wap air.

ii. Sejatpeluhan

Wap-wap air juga dibebaskan ke atmosfera melalui proses perpeluhan. Ia berlaku melalui liang-liang stoma daun di mana tekanan-tekanan wap pada permukaan sel-sel daun lebih tinggi berbanding dengan tekanan udara pada atmosfera terutamanya pada waktu siang yang panas. Kombinasi antara sejatan dari lembapan tanah dengan perpeluhan dinamakan sebagai sejat peluhan.

iii. Kerpasan

Kerpasan ialah hujan, hujan batu, salji dan embun. Ia berlaku apabila bintik-bintik air atau ais di atmosfera turun ke bumi. Terdapat tiga jenis hujan utama contohnya hujan perolakan, hujan bukit dan hujan perenggan. Hujan perolakan berlaku apabila titisan air yang turun dari jisim udara yang sudah tepu dengan wap-wap air( turun dari awan kumulonimbus).

iv. Aliran batang

Air hujan yang turun meleleh mengikut dahan dan batang pokok dikenali sebagai aliran batang. Ia berpunca dari proses pintasan kanopi.

v. Resapan/ susupan

Proses dimana air hujan menyusup menerusi liang-liang pori tanah secara menegak. Kadar susupan bergantung kepada peratus liang pori yang ada dalam sesuatu jenis tanah. contohnya tanah pasir alami kadar susupan yang tinggi berbanding dengan tanah liat.

Proses pemeluwapan

Proses penukaran wap air kepada air( titisan air/hujan). Proses berlaku akibat kejatuhan suhu dalam jisim udara apabila ia naik semakin tinggi dalam atmosfera(semakin tinggi suhu, suhu semakin rendah)-penyejukan adiabatik. Apabila suhu di dalam jisim udara mencapai takat embun ( 0°celcius ) akan menyebabkan wap air bertukar kepada cecair(hujan)

Pengaruh Sejatan Dan Sejatpeluhan Terhadap Kandungan Air Di Atmosfera (Kelembapan). (Kuliah Kali: )

Kelembapan merujuk kepada jumlah air yang terkandung di dalam atmosfera pada satu masa tertentu. Proses penyejatan dari permukaan air, tanah-tanih dan sejat peluhan dari tumbuhan adalah penting terhadap kandungan air di atmosfera. Ia akan memastikan lebih kurang 5% darpada jumlah isipadu atmosfera dipenuhi oleh kelembapan. Proses sejatan dan sejat peluhan akan memastikan kelembapan atmosfera atau kandungan air dunia sentiasa dalam keadaan keseimbangan. Air dalam pelbagai bentuk sama ada wap air, air hujan, air tanih, larian permukaan atau air lautan adalah sama pada setiap masa.

i. Maksud Sejatan:

Proses penukaran cecair kepada wap air/ penukaran air kepada gas.

ii. Maksud sejat peluhan:

Proses pembebasan wap air oleh tumbuhan melalui liang stoma daun dan batang.

KEBERKESANAN KERPASAN

Konsep keberkesanan kerpasan / kerpasan Efektif

Keberkesanan kerpasan merujuk kepada jumlah hujan yang diserap/disusupkan oleh tanah-tanih yang dapat digunakan oleh tumbuh-tumbuhan atau tanaman bagi tujuan pembesarannya.

Faktor-Faktor Yang Mnentukan Keberkesanan Kerpasan

i. Intensiti hujan (kelebatan curahan hujan mengikut masa)

Bagi hujan yang renyai dan sedikit jumlahnya menyebabkan tanah tidak dapat menyerap air dengan banyak. Oleh itu keberkesanan kerpasan adalah rendah dan tidak mencukupi untuk tumbesaran tumbuh-tumbuhan dan tanaman (kawasan gurun). Manakala kawasan yang mengalami turunan hujan yang lebat dan banyak akan mempengaruhi tanah menjadi cukup basah dan nilai keberkesanan kerpasan adalah tinggi (kawasan khatulistiwa)

ii. Tempoh Musim Hujan

Tempoh curahan hujan atau bilangan hari hujan adalah tidak sekata sepanjang tahun. Pada musim hujan/tengkujuh, bilangan hari hujan dalam sebulan adalah lebih lama dan lebat curahannya berbanding dengan musim kemarau/musim kering. Oleh itu dalam tempoh musim hujan/ tengkujuh , nilai keberkesanan kerpasan adalah lebih tinggi dan tumbuh-tumbuhan serta tanaman dapat membesar dengan dengan sempurna.Hal ini dapat dibuktikan di kawasan yang mengalami iklim monsun tropika yang mempunyai satu musim hujan dan satu musim kering yang nyata setiaptahun. Di kawasan khatulistiwa pula mempunyai nilai keberkesanan kerpasan yang tinggi kerana hujan lebat sepanjang tahun.

iii. kecerunan Permukaan muka bumi

di kawasan cerun curam, nilai keberkesanan kerpasan adalah rendah kerana air hujan lebih banyak mengalir di permukaan dengan laju dan tidak sempat meresap ke dalam tanah. Di kawasan cerun landai atau di kawasan permukaan bumi yang hampir rata, halaju larian air di permukaan adalah perlahan.Ini memberi peluang dan ruang kepada setiap titisan hujan untuk meresap masuk ke dalam tanah. Oleh itu nilai keberkesanan kerpasan adalah tinggi.

iv. Ciri-ciri geologi sesuatu kawasan

Nilai keberkesanan kerpasan berbeza bergantung kepada ciri-ciri geologi yang mendasari sesuatu kawasan. Batuan yang poros seperti batu kapur dan pasir (kuartza) walaupun banyak meresapkan air tetapi nilai keberkesanan kerpasan adalah rendah. Ini disebabkan air tidak boleh tersimpan lama dalam tanah tersebut untuk digunakan oleh tumbuhan dan tanaman, sebaliknya air terus meresap ke dalam tanah dan membentuk aliran air bawah tanah. Di kawasan yang mempunyai geologi yang keras dan tidak poros juga mempunyai nilai keberkesanan kerpasan yang rendah kerana sifatnya tidak membenarkan air meresap masuk ke dalam liang porenya. Nilai keberkesanan kerpasan yang tinggi adalah di kawasan geologi yang mampu membenarkan air meresapinya dan menyimpan air tersebut seperti di kawasan tanah laterit daripada batuan riolit, kawasan tanah aluvium dam tanah lava bes.

v. Tumbuh-tumbuhan Litupan

Di kawasan hutan yang berkanopi seperti khatulistiwa, titisan air hujan akan turun perlahan akibat proses cegatan silara tumbuh-tumbuhan berkenaan. Titisan air hujan dengan perlahan ini mempunyai peluang dan masa yang banyak untuk meresap masuk ke dalam tanah dan nilai keberkesanan kerpasan adalah tinggi. Berbeza dengan kawasan gondol atau kawasan litupan tumbuhan yang kecil, di mana larian air permukaan adalah lebih tinggi. Keadaan ini menyebabkan nilai keberkesanan kerpasan rendah kerana sedikit sahaja air yang dapat digunakan untuk tumbesaran tumbuhan dan tanaman.

vi. Suhu

Suhu yang tinggi amat mempengaruhi kadar sejatan permukaan. Di kawasan suhu tinggi/panas (kawasan gurun), nilai keberkesanan kerpasan adalah rendah kerana kadar sejatan permukaan yang begitu tinggi tidak memberi peluang untuk air meresap masuk ke dalam tanah dengan baik walaupun hujan yang turun sekali-sekalanya adalah lebat. Di kawasan suhu rendah, nilai keberkesanan kerpasan juga rendah kerana semua kerpasan yang turun berbentuk salji dan membeku di permukaan. Keberkesanan kerpasan yang tinggi berlaku di kawasan Khatulistiwa (min suhu 27°C) kerana menerima hujan sepanjang tahun.

4.3 EDARAN AIR TANIH ( Kuliah Kali : )

Konsep edaran air tanih

Edaran air merujuk kepada semua bentuk pergerakan air yang menggunakkan tanah sebagai mediumnya seperti aliran sub-permukaan, susupan (infiltrasi) dan pergerakan secara mendatar dalam sistem akuifer/ edaran air bawah tanah. Semua pergerakan ini dalam bentuk cecair.

Proses-Proses Dalam Edaran Air Tanih

i. Larian air permukaan

Air hujan yang turun sebahagiannya akan meresap ke dalam tanah dan selepas daya resapan dipenuhi, air hujan yang lain akan mengalir di atas permukaan bumi atau cerun. Ia boleh terbentuk apabila kelebatan hujan melebihi kadar resapan tanah.

ii. Resapan/infiltrasi/susupan

Pergerakan air hujan yang berlaku secara menegak iaitu menerusi liang-liang pori tanah atau menerusi ruang-ruang udara yang ada dalam tanah. Tanah pasir mempunyai kadar ketelusan yang tinggi kerana liang pori batuannya besar dan banyak. Proses ini membekalkan air tanih.

iii. Aliran air bawah tanah

Air mengalir secara perlahan melalui liang dalam batuan di bawah permukaan. Ia mengalir kerana terdapat perbezaan tekanan dan kecerunan.Air dari bahagian atas zon tepu mengalir menuruni cerun aras mata air dan akan sampai ke lurah dan meresap keluar ke sungai, tasik atau paya.

iv. Simpanan air tanih

Simpanan air tanih adalah air yang terkumpul di zon tepu dan zon tidak tepu. Air tanih di zon tepu ialah air yang wujud di dalam semua rongga pori tanih yang terletak di bawah lapisan tanih yang mana menyumbang kepada air perigi dan mata air. Manakala air yang tersimpan di zon pengudaraan iaitu zon tidak tepu terletak berhampiran di permukaan bumi. Air tanih ini tersimpan dalam tanih dan dipengaruhi oleh tegangan, dan air tanih ini menentukan nilai kelembapan tanih.

v. Keporosan dan ketelapan

Sifat sesuatu batuan yang mempunyai liang atau ruang antara batuan yang boleh ditakungi oleh air bawah tanah. Keporosan ialah ruang rongga antara tanih. Keporosan sesuatu tanah di pengaruhi oleh struktur susunan partikel tanah, komposisi saiz partikel tanah, kandungan air di dalam tanah, ciri-ciri batuan dan litupan tumbuh-tumbuhan. Ketelapan ialah kebolehan air melalui keporosan atau liang pori tanih. Sifat keporosan dan ketelapan merupakan ciri penting dalam menentukan kemampuan batu batan menakung dan memindahkan air.

vi. Akuifer

Akuifer ialah tempat batuan untuk menakung air. Air akan meresap perlahan-lahan ke bawah tanah melalui liang-liang batuan dan resapan akan terhenti apabila telah sampai ke batuan tidak telap air. Akuifer juga merupakan tempat simpanan air bawah tanah dan juga nadi untuk pergerakan air bawah tanah. Ia juga sebagai pengawal aliran semulajadi iaitu meresap air semasa hujan lebat untuk mengurangkan kadar aliran air tanah yang terlalu cepat dan membekalkan air kepada alur sungai pada masa kekurangan air hujan atau musim kering.

KEPENTINGAN SUMBER AIR KE ATAS AKTIVITI MANUSIA

i. Kegunaan domestik

Air dapat digunakan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan harian seperti minuman,mencuci dan keperluan-keperlun lain.Sumber air yang utama adalah dari sungai-sungai,conthnya Sungai Muda di Kedah,Sungai Pahang di Pahang dan lain-lain.

ii. Pertanian

Sektor pertanian merupakan sektor yang paling banyak bergantung kepada sumber air.Empangan di bina untuk membekalkan air dan mengawal input output air kepada kawasan tanaman khususnya padi sawah. Ia dilaksanakan melalui projek-projek perairan untuk pertanian khususnya untuk tanaman padi sawah. Contohnya pengairan telah membantu meluaskan penanaman padi di Malaysia seperti rancangan pengairan Muda di Kedah, Kemubu di Kelantan.

iii. Perindustrian

Sumber air penting dalam industri makanan, pakaian, besi dan keluli. Air digunakan dalam pelbagai cara terutamanya sebagai pencuci dan membersih produk-produk atau hasil perindustrian. Sektor perkilangan juga memerlukan bekalan air bersih yang berterusan contohnya dalam industri pemprosesan kertas dan petrokimia.

iv. Sistem Pengangkutan Air

Sungai, selat, terusan digunakan untuk mengangkut barangan dan penduduk khususnya di kawasan pedalaman. Sungai sebagai sistem pengangkutan air yang murah dan mudah, tidak memerlukan kos yang tinggi. Juga sebagai pengangkutan utama di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi jalan darat. Contonya sungai Rajang di Sarawak dan sungai Kinabatangan di sabah.

v. Rekreasi, Eko Pelancongan Dan Sukan Air

Sumber air dapat menambahkan keindahan tempat-tempat rekreasi dan tarikan pelancong seperti tasik dan air terjun. Contohnya, air terjun kota Tinggi di Johor. Pembinaan chalet-chalet terapung, resort dan rumah rehat, pusat sukan air seperti aktiviti berkayak, berkelah dapat dijalankan di kawasan jeram dan air terjun.

4.4 IMBANGAN AIR ( Kuliah kali: )

Konsep Imbangan Air

Imbangan air merupakan keseimbangan antara jumlah air yang diterima dari atmosfera dengan jumlah air yang keluar ke atmosfera. Jumlah air yang diterima oleh permukaan bumi dalam bentuk kerpasan seperti hujan, embun dan salji adalah sama banyaknya dengan yang akan dibebaskan semula ke atmosfera menerusi proses sejat-peluhan, sejatan yang mengalami larian permukaan dan juga yang disimpan di dalam tanah sebagai storan.

Formulanya ialah: (P=ET + dST + S)

P = Jumlah air yang diterima daripada kerpasan.

ET = Jumlah air yang hilang melalui proses sejat peluhan

dST = air yang diterima atau hilang dari lapisan-lapisan tanah.

S = Air yang berlebihan atau storan (simpanan air )

Konsep Lebihan Air

Lebihan air merupakan Imbangan air positif,yang bermaksud jumlah kerpasan melebihi sejatan. Apabila jumlah kerpasan terutama hujan yang turun ke bumi melebihi daripada kadar sejatan air ke atmosfera dalam tempoh yang panjang, ia boleh menyebabkan fenomena banjir.

Konsep Kurangan air

Kurangan air atau imbangan air negatif ditakrifkan sebagai kekurangan air yang dialami oleh sesebuah kawasan dalam tempoh tertentu. Dalam hal ini, kadar sejatan melebihi daripada kerpasan (hujan) yang turun di kawasan berkenaan. Kesan daripada imbangan air negatif yang dialami oleh sesebuah kawasan itu ialah berlakunya fenomena kemarau.ambarajah – Imbangan air

VARIASI IMBANGAN AIR MENGIKUT RUANG DAN MASA


Keterangan:

Jumlah kerpasan dari lautan dan daratan (P)=(et) jumlah sejatan dari lautan dan daratan, iaitu seluruh sejatan ke lapisan atmosfera sepatutnya mesti menurun semula sebagai kerpasan ke permukaan bumi. Sejatan dari lautan adalah sebanyak 84% , tetapi yang menurun sebagai kerpasan di lautan ialah sebanyak 77%. Berlaku kehilangan kerpasan sebanyak 7%. Sementara di daratan, sejat peluhan ialah sebanyak 16%, tetapi kerpasan sebanyak 23%, iaitu lebihan kerpasan sebanyak 7%. Kehilangan 7% kerpasan di lautan telah ditiup ke daratan sebagai awan. Apabila sampai di daratan, awan ini menurun sebagai kerpasan lalu menyebabkan terdapatnya lebihan 7% kerpasan di daratan. Lebihan 7% kerpasan di daratan ini disalirkan sebagai air larian di permukaan daratan. Formula imbangan air akan menjadi seimbang, iaitu jumlah kerpasan dari lautan dan daratan (+7% air larian) = jumlah sejatan dari lautan dan daratan (-7% wap air yang ditiupke daratan). Oleh itu, elemen (+r) boleh diketepikan kerana tujuh peratus air larian di permukaan tanah datang dari kehilangan tujuh peratus kerpasan di lautan.

oleh itu, p=et, iaitu jumlah kerpasan di daratan dan di lautan bersamaan dengan jumlah sejatan (termasuk sejat peluhan) dari lautan dan daratan.

77% + 23% (+7%) = 84% +16% (-7%), iaitu 100% = 100%

Faktor-Faktor Mempengaruhi Variasi Imbangan Air (Kuliah Kali: )

i Topografi dan aspek

Cerun-cerun di kawasan tanah tinggi dan banjaran gunung yang menghadap angin akan mendapat lebih banyak hujan daripada kawasan lindungan hujan. Contohnya dikawasan pantai barat Banjaran Rocky mendapat lebih banyak hujan daripada kawasan lindungan di timur. Oleh itu di bahagian timur terdapat kawasan Prairie yang lebih kering.

ii. Hujan

Hujan yang lebat boleh membekalkan air yang berlebihan sehingga tidak dapat ditampung oleh sistem saliran di permukaan bumi. Kesannya boleh meningkatkan air di permukaan bumi sehingga berlaku banjir. Manakala pengurangan imput hujan pula boleh mempengaruhi kepasiti storan air tanih dan menyebabkan sungai yang mengalir tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi.

ii.Tumbuhan

Litupan tumbuhan tebal seperti hutan hujan khatulistiwa membantu kadar susupan yang tinggi dan meningkatkan jumlah air dalam tanah kerana titisan air hujan cenderung untuk meresap masuk ke dalam tanih daripada mengalir di permukaan. Tumbuhan juga boleh meningkatkan kehilangan air melalui proses sejat peluhan.dan menjamin kelembapan udara, seterusnya membentuk awan yang boleh menurunkan hujan.Kekurangan tumbuhan menyebabkan persekitaran menjadi kering,,sejatan meningkat maka hujan akan berkurangan,kurangan air akan berlaku..

iii. Ketelapan tanih dan ciri batuan

Tanah yang berstruktur longgar dan bertekstur kasar seperti batu pasir dan kerikil lebih cepat kehilangan air berbanding tanah berstruktur padat dan bertekstur halus seperti tanah liat yang menggalakkan air bertakung dan menyebabkan lebihan air.

iv. Kehadiran badan air

Kewujudan sumber-sumber air permukaan seperti sungai, tasik, kolam dan lain-lain boleh menjadi pembekal utama kepada system akuifer dan membantu meningkatkan sejatan dan kerpasan, seterusnya mempengaruhi imbangan air

v.Tindakan manusia.

Pembangunan yang pesat yang melibatkan penyahutanan untuk pembinaan petempatan,perindustrian dan lain-lain akan menyebabkab kurangan air. Kekurangan hutan menyebabkan kurangnya simpanan air tanih untuk dibekalkan secara tetap kepada sungai.Pembandaran yang pesat menyebabkan permukaan bumi diturap,kadar susupan air berkurangan menyebabkan simpanan air tanih berkurangan.Keadaan ini boleh menyebabkan banjir kilat mudah berlaku apabila berlaku hujan.

Rumusan Proses-Proses Yang Terlibat Dalam Sistem Hidrologi

Proses Kitaran Hidrologi

i. Proses mendatar

  • Larian air permukaan

· Aliran air bawah tanah

· Alir lintang atmosfera

ii. Proses menegak

· Sejatan

· Sejatpeluhan

· Kerpasan

· Aliran batang

· Resapan

4.5 KAITAN SISTEM HIDROLOGI DENGAN MANUSIA (Kuliah Kali: )

Gangguan Imbangan Air

Gangguan terhadap kitar air boleh menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan air sama ada ketidaksembangan positif(air berlebihan seperti banjir) atau ketidakseimbangan negatif( air berkurangan seperti kemarau).

a. Kejadian kemarau.

Kemarau di definasikan sebagai keadaan jumlah sejat peluhan yang melebihi jumlah kerpasan yang turun untuk satu tempoh yang lama atau panjang.Kemarau juga mewujudkan keadaan imbangan air negatif iaitu kekurangan air yang di alami oleh sesebuah kawasan dalam tempoh tertentu.Dalam hal ini kadar sejatan melebihi daripada kerpasan(hujan) yang turun di kawasan berkenaan.Keadaan cuaca semasa kemarau ialah panas, udara kering(% kelembapan udara rendah), hujan berkurangan atau tiada langsung.

b. Kejadian banjir.

Dalam tempoh yang panjang apabila jumlah kerpasan terutama hujan yang turun ke bumi melebihi daripada kadar sejatan air ke atmosfera, maka ia boleh menyebabkan fenomena banjir.Banjir boleh di takrifkan sebagai satu keadaan limpahan air atau kenaikan aras air sehngga melebihi daya tampung sesebuah saluran seperti sungai,tasik dan laut lalu mengalir limpahkan ke kawasan sekitar khususnya di kawasan tanah rendah.Limpahan air ini berlaku dalam tempoh tertentu dan bersifat sementara.

c. Banjir monsun/musiman.

Banjir musiman ialah limpahan air secara besar-besaran dan kompleks yang berlaku secara meluas pada musim-musim tertentu dalam jangka masa yang lama akibat curahan hujan lebat yang berpanjangan. Hujan tahunan atau musiman yang lebat dalam masa yang lebih panjang mengakibatkan kejadian banjir yang lebih meluas,boleh meliputi seluruh kawasan legehnya.Hujan maksimum yang berlaku dalam musim-musim/bulan-bulan tertentu dalam tempoh setahun boleh menyebabkan banjir musiman. Di kawasan Asia Monsun, kejadian banjir boleh di pengaruhi oleh ketibaan hujan yang sangat lebat dalam musim-musim tiupan angin monsun Timur laut dan barat daya.Tiupan angin monsun Timur laut merentasi Laut China Selatan mengumpulkan banyak kelembapan dan membawa hujan yng sangat lebat.

d.Banjir kilat.

Satu fenomena banjir yang berlaku dalam tempoh yang singkat/beberapa jam sahaja.Akibat daripada curahan hujan yang lebat walaupun jangka masanya singkat tetapi ia mampu menghasilkan aliran permkaan yang banyak dalam jangka masa yang singkat juga. Aliran permukaan yang banyak ini tidak dapat menyusup ke dalam tanih yang mana liang porinya telah ditutup dengan bitumen/tar/aspalt lalu mengalir-limpah sebagai air larian permukaan.Banjir jens ini banyak berlaku di bandar-bandar besar.

GANGGUAN IMBANGAN AIR TERHADAP AKTIVITI MANUSIA

i. Pertanian

Imbangan air positif (banjir) boleh mengganggu aktiviti pertanian iaitu boleh merosakkan tanaman contohnya penenggelaman kawasan sawah padi yang

merosakkan pokok-pokok padi. Contohnya sawah padi di Kelantan pada musim tengkujuh.Manakala imbangan air negatif (kemarau) boleh menyebabkan bekalan air berkurangan, jumlah air sungai, tasik dan empangan akan berkurangan. Hal ini menyebabkan tanaman yang bergantung kepada sumber air akan mati dan menjejaskan pendapatan petani.

ii. Perikanan

Semasa lebihan air (banjir) kolam-kolam akan ditenggelami air, sungai-sungai akan melimpahi tebing yang boleh menyebabkan ikan-ikan ternak terbebas keluar. Arus-arus sungai yang deras boleh memusnahkan sangkar-sangkar ikan yang dibina.

Kekurangan air (kemarau) boleh menyebabkan sungai, tasik dan kolam-kolam ternakan kekeringan air. Benih-benih ikan akan mati. Ini akan menjejaskan penternakan ikan dan udang samada di kolam atau sangkar dalam sungai.

iii. Pembalakan

Lebihan air (banjir) boleh mengganggu aktiviti pembalakan ,jalan-jalan raya terputus, pengangkutan kayu balak dan pemasarannya akan terganggu.Kekurangan air (kemarau) boleh mengakibatkan berlaku kebakaran hutan yang boleh menjejaskan aktiviti pembalakan dan mengurangkan sumber hasil kayu balak

iv. Penternakan

Lebihan air (banjir) boleh mengganggu aktiviti penternakan di mana kawasan ragutan ternakan dan kandang ternakan ditenggelami air.Semasa banjir penternak sukar untuk memindahkan ternakan.Keadaan ini boleh menyebabkan ternakan akan mati dan kerugian kepada penternak.Kekurangan air (kemarau) boleh menyebabkan kekurangan kawasan ragut rumput untuk ternakan lembu kambing

Penyesuaian Manusia Terhadap Kurangan Air Dan Lebihan Air.

(Kuliah Kali: )

Kurangan air/ kemarau

i. Penggunaan Air bawah tanah

Memajukan sumber air , contohnya kekurangan sumber air boleh di atasi dengan penggunaan air bawah tanah dengan cara menggerudi dan dipamkan keluar airnya untuk disalirkan ke loji pembersihan (perawatan) sebelum diagihkan kepada penduduk melalui sistem perpaipan.

ii. Pembenihan Awan

pembenihan awan boleh dilakukan bagi menurunkan hujan tiruan di kawasan tadahan. Larutan garam (silver iodide) disemburkan ke atas awan kumulusnimbus. Larutan garam berfungsi sebagai ‘nukleus kondensasi’ untuk menarik wap-wap air di dalam awan berkumpul dan bercantum ke arahnya. Pembesaran bintik-bintik air akan berlaku dan mencapai tahap tepu yang menyebabkan hujan akan turun.

iii. Membina Laluan Air/Terowong Air

pembinaan laluan air adalah untuk memindahkan air antara lembangan. Contohnya pembinaan terowong menghubungkan Empangan Pedu dan Empangan Muda di Kedah iaitu Terowong Saiong. Air dari Empangan Muda yang banyak dapat mengalir ke Empangan Pedu apabila mencapai paras tertentu.Hal ini dapat menambahkan bekalan air kepada penduduk.

iv. Penggunaan Air Tasik, Kolam

bagi menambahkan sumber air, tasik tinggalan perlombongan bijih timah akan dipam, dirawat, disalirkan dengan menggunakan alat ULTRA SOURCE. Projek ini dapat menampung keperluan air kepada penduduk contohnya di Lembah Klang.

Lebihan air / Banjir:

i. Membina empangan besar

Empangan besar di bina bagi menakung dan menyimpan air yang berlebihan daripada curahan hujan lebat. Disamping mengawal banjir ia dapat menyimpan air dan membekalkan air untuk penduduk.

Ii .Mendalam dan meluruskan sungai

kerja-kerja mendalamkan dan meluruskan alur-alur sungai boleh menyebabkan sungai dapat mengalir dengan mudah dan tepat ke laut.Keadaan ini dapat mengurangkan kejadian banjir.

iii. Membina benteng/tetambak

Bbenteng di bina sepanjang sungai teutamanya di kawasan yang rendah bagi mengawal air melimpahi tebing dan menyebabkan banjir

iv.Tindakan Undang-undang

Kawalan aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air bagi mengekalkan storan air. Aktiviti pembalakan haram harus dikenakan tindakan undang-undang bagi memastikan kawasan hutan tidak diceroboh dan mengurangkan larian air permukaan yang mengakibatkan banjir.

BANJIR KILAT

Konsep Banjir Kilat

Satu fenomena banjir yang berlaku dalam tempoh yang singkat/ beberapa jam. Akibat daripada curahan hujan yang lebat walaupun jangka masanya singkat tetapi ia mampu menghasilkan aliran permukaan yang banyak dalam jangka masa yang singkat juga. Aliran permukaan yang banyak ini tidak dapat menyusup masuk ke dalam tanih yang mana liang porenya tetah ditutup dengan bitumen/ tar/ aspalt lalu mengalir limpah sebagai air larian permukaan . oleh sebab itu, banjir jenis ini banyak berlaku di Bandar-bandar besar.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Banjir Kilat.

i. Litupan Permukaan Tidak Telap Air

Litupan permukaan tidak telap air seperti bitumen/tar/ aspalt menyebabkan liang pore permukaan tanih ditutup. Permukaan tidak telap air menghalang penyusupan air ke dalam tanih. Keadaan ini menyebabkan larian air berlaku di permukaan dan peningkatan air secara mendadak semasa hujan lebat menggalakkkan kejadian banjir kilat.

ii. Sistem perparitan tidak cekap

Sistem perparitan tidak cekap seperti perparitan yang bersaiz kecil, jumlah sedikit, tersumbat dengan sampah-sarap tidak dapat menampung isipadu air semasa hujan lebat. Isipadu air hujan yang banyak akan melimpah keluar daripada parit dan longkang dan menyababkan kejadian banjir kilat.

iii. Kekurangan Litupan Tumbuh-Tumbuhan

Di kawasan Bandar kurankawasan hijau. Keadaan ini menyebabkan fungsi pokok dalam proses cegatan silara tidak berlaku dan air hujan yang turun menjadi larian air permukaan menggalakkan kejadian banjir kilat.

iv. Kepesatan pembangunan

kepesatan pembangunan khususnya di pinggir bandar akan memusnahkan kawasan tadahan yang luas. Pembangunan projek perumahan, pembandaran , tapak perindustrian menyebabkan kawasan tadahan dimusnahkan dan paya ditimbus. Sekiranya hujan lebat akan membanjiri kawasan bandar yang lebih rendah dengan cepat.

v. Sikap Manusia Yang Tidak Bertanggungjawab

Sikap manusia yang tidak bertanggungjawab sperti membuang sampah dalam parit, penduduk setinggan membuang sampah ke sungai dalam Bandar. Apabila hujan lebat, air sungai cepat melimpah ke kawasan Bandar menyebabkan kejadian banjir kilat.

Langkah-Langkah Mengatasi Kejadian Banjir Kilat.

i. Sistem Perparitan Yang Lebih Cekap Dan Sistematik

Kerajaan tempatan mengadakan pelan induk sistem perparitan di kawasan baru dibuka. Perancangan bandar yang teliti di mana longkang dan parit diperbesarkan, diperdalamkan supaya dapat tampung kuantiti air yang banyak ketika hujan lebat. Sistem perparitan diselenggaraan supaya sentiasa bersih dan tidak tersumbat.

ii. Penghijauan Persekitaran Kawasan Bandar

Langkah penghijauan kawasan bandar seperti menanam rumput dan pokok sebagai menggalakkan proses cegatan silara. Peranan pokok ini boleh mengurangkan larian air permukaan mengelakkan banjir kilat.

iii. Rizab Sungai

Penetapan rizab sungai iaitu 30 meter daripada sungai tidak boleh diterokai untuk pembangunan. Kawasan rizab sungai dapat menggalakkan penyusupan air sebelum ke dalam sungai. Sebagai langkah untuk memudahkan pengurusan meluruskan dan memperdalamkan sungai pada masa akan datang

iv. Tindakan Undang-Undang

Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah dalam konteks sisa pepejal ke dalam parit/longkang dan sungai. Di antara tindakan yang dikenakan termasuk didenda, penjara atau kedua-duanya sekai.

v. Kempen Kesedaran Dan Pendidikan Alam Sekitar

Kempen kesedaran melalui media massa (TV, radio, internet) & media cetak (surat khabar, majalah, risalah) dapat menyedarkan masyarakat dan generasi muda kepentingan menjaga kebersihan sungai, parit/longkang melalui projek gotong-royong membersihkan sampah-sarap dalam parit dan sungai. Pendidikan alam sekitar di sekolah melalui mata pelajaran geografi juga memberi kefahaman punca dan kesan banjir kilat.