Tarikh-Tarikh Penting

Tarikh Penting

  • Mac, 21 - Hari Hutan Sedunia
  • Mac, 22 - Hari Air Sedunia
  • Mac, 23 - Hari Meteorologi Sedunia
  • April, 22 - Hari Bumi
  • Jun, 05 - Hari Alam Sekitar Sedunia
  • Okt., 08 - Hari Antarabangsa Pembasmian Kemusnahan Semula Jadi
  • Okt., 22-27 : Minggu Alam Sekitar Malaysia

http://img1.blogblog.com/img/icon18_wrench_allbkg.png

Wednesday, June 27, 2007

Tingkatan 6R : Geografi 1 : Jelaskan tiga kesan peredaran bumi terhadap habitat haiwan. [9m]

Peredaran bumi mengelilingi matahari akan menyebabkan fenomena kejadian empat musim iaitu musim sejuk, musim panas, musim bunga dan musim luruh. Perbezaan musim ini tentunya akan meninggalkan kesan kepada keseluruhan hidupan di permukaan bumi di kawasan bermusim termasuklah haiwan. Haiwan juga akan menyesuaikan diri dengan keadaan iklim di sekelilingnya untuk terus hidup termasuklah pengubahsuaian habitat.
Haiwan sentiasa berpindah mengikut musim. Kebanyakan haiwan akan berpindah dari satu kawasan yang mengalami musim sejuk ke kawasan yang lebih panas. Contohnya perpindahan burung layang-layang dari negara China yang mengalami musim sejuk ke negara-negara Asia Tenggara yang lebih panas termasuk Malaysia.
Penghijrahan haiwan juga berlaku kerana mereka ingin mencari makanan. Haiwan yang tinggal di kawasan bersalji akan berpindah habitatnya sementara kerana kesukaran mendapatkan makanan apabila tanah diliputi salji.
Proses pernghijrahan atau perubahan habitat haiwan juga berlaku mengikut musim kerana faktor pembiakan. Haiwan akan berpindah untuk mengawan dalam musim sejuk dan akan membiak dalam musim panas. Contohnya perpindahan beruang kutub, musang dan rusa di kawasan beriklim sederhana untuk mengawan pada musim sejuk menyebabkan habitat dan tempoh pembiakan haiwan ini hampir sama setiap tahun.

Tingkatan 6R : Geografi 1 : Apakah yang dimaksudkan dengan mantel ? [3m]

Mantel ialah bahagian lapisan struktur bumi yang terletak di lapisan tengah di antara teras bumi dan kerak bumi. Lapisan ini menutup bahagian pusat bumi. Lapisan mantel terdiri daripada batuan cair yang lebih tumpat dan suhu lebih tinggi daripada kerak bumi. Dalam lapisan inilah terjadinya arus perolakan magma kerana ingin menyeimbangkan suhu dalaman bumi.

Ting 6R : Geografi 1 : Takrifkan kecondongan paksi bumi. [5m]

Kecondongan paksi bumi ialah keadaan paksi bumi yang condong daripada kedudukan satah tegak sebanyak 23.5 darjah. Keadaan ini menyebabkan garisan yang memisahkan waktu siang dan malam semasa solstis tidak selari dengan paksi putaran bumi sebanyak 23.5 darjah. Dengan kata lain, paksi bumi dan satah khatulistiwa membentuk bukaan sudut 23.5 darjah kepada garisan sudut tepat satah bulatan bumi.

Ting 6R : Geografi 1 : Jelaskan secara ringkas konsep hanyutan benua. [5m]

Hanyutan benua bermaksud benua tunggal pada suatu masa dahulu yang dikenal sebagai Pangea telah berpecah kepada dua bahagian benua iaitu Laurasia dan Gondwanaland. Kemudian kedua-dua benua ini terus berpecah dan hanyut secara mendatar seperti yang ada sekarang. Kejadian ini berlaku berjuta-juta tahun dahulu.

Ting 6R : Geografi 1 : Apakah yang dimaksudkan dengan kitaran batuan ? [8m]

Kitaran batuan bermaksud batuan berubah dari satu jenis kepada jenis yang lain sehingga kembali semula kepada batuan asal kerana pengaruh tenaga eksogenik dan tenaga endogenik. Terdapat tiga jenis batuan yang utama iaitu batu igneus, batu mendak (batu enapan) dan batu jelmaan (batu metamorfik).
Pembentukan batu igneus adalah daripada penyejukan dan pembekuan magma atau lava yang membentuk igneus jalar dalam dan igneus jalar luar. Contohnya batu granit, batu gabro dan basalt. Proses-proses geomorfologi atau penggondolan seperti luluhawa, hakisan dan pemendapan akan menghasilkan batu enapan seperti batu pasir dan batu konglomerat.
Seterusnya batu enapan seperti batu kapur, batu arang atau batu pasir yang terdedah kepada kuasa-kuasa endogenik iaitu pemanasan oleh magma atau terdedah kepada sentuhan magma atau terobosan (tembusan) magma, batuan enapan asal ini akan mengalami perubahan fizikal dan kimia yang dikenali sebagai batu jelmaan. Contohnya batu kapur membentuk batu marmar dan batu arang membentuk berlian.
Akhirnya batu jelmaan yang terdapat di permukaan bumi jika terdedah kepada kuasa endogenik akan melabur semula dan menyusup masuk ke lapisan mantel bersama-sama dengan peleburan dan penyusupan kerak bumi akibat gerakan tektonik. Penyusupan masuk kerak bumi ini akan mencairkan semula kerak bumi termasuk lapisan batuan bersama-samanya. Kerak bumi dan batuan yang cair ini akan membentuk batu igneus sekali lagi dan begitulah seterusnya proses ini akan berulang.

Tuesday, June 26, 2007

Ting 6R Geografi : Jelaskan perubahan zaman mengikut Teori Hanyutan Benua. [10m]

Teori hanyutan benua ialah teori yang mengatakan bahawa telah berlaku pergerakan kerak bumi secara besar-besaran secara mendatar setelah mereka berpecah daripada sebuah benua yang tunggal. Proses perpisahan ini telah dibahagikan kepada lima zaman mengikut masa kejadian iaitu Zaman Permian, Thriassic, Jurassic, Cretaceous dan masa kini.
Pada zaman Permian, iaitu kira-kira 225 juta tahun dahulu, benua ini dikatakan tunggal yang dinamakan Pangea dan lautan dikenali sebagai Panthalasia. Benua besar ini kemudian berpecah kepada dua bahagian pada zaman Thriassic iaitu kira-kira 200 juta tahun dahulu. Benua yang bergerak ke utara dikenali sebagai Laurasia dan benua yang bergerak ke selatan di kenali sebagai Gondwanaland. Kedua-dua benua ini dipisahkan oleh bahagian lautan yang dikenali sebagai Laut Tethys.
Seterusnya kerak bumi benua terpisah lagi pada zaman Jurassic yang berlaku kira-kira 135 juta tahun dahulu. Pada zaman ini, wujud benua-benua kembar yang masih bercantum iaitu Benua Amerika Utara dan Benua Eurasia, Benua Amerika Selatan dan Benua Afrika, Benua Antartika dan Australia. Benua kecil India telahpun hanyut dan terpisah daripada benua Antartika ke utara. Semasa zaman Cretaceous pula iaitu kira-kira 85 juta tahun dahulu, Benua Amerika Selatan telahpun terpisah dengan benua Afrika. Pemisahan ini mewujudkan ruang terbuka kawasan laut yang dikenali sebagai Lautan Atlantik. Akhirnya Benua kecil India terus hanyut ke utara dan pada masa kini benua Kecil India dikatakan bertembung dengan Benua Asia.

Monday, June 25, 2007

Ting 6R : Geografi 1 : Apakah yang dimaksudkan dengan ekuinoks dan solstis ? [5m]

Maksud ekuinoks
Ekuinoks bermakna seluruh permukaan bumi menerima waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam masing-masing. Pada masa ini matahari tengah hari berada tepat di garisan khatulistiwa. Fenomena ini hanya berlaku pada 21 Mac (ekuinoks musim bunga) dan 23 September (ekuinoks musim luruh).
Maksud Solstis
Solstis bermakna penerimaan waktu siang dan malam yang tidak sama panjang di permukaan bumi. Fenomena ini berlaku pada 21 Jun (solstis musim panas) dan 22 Disember (solstis musim sejuk). Semasa solstis musim panas, matahari tengah hari berada tegak di atas garisan sartan di hemisfera utara. Keadaan ini menyebabkan hemisfera utara mengalami waktu siang yang lebih panjang iaitu 16 jam berbanding waktu malam yang lebih singkat iaitu selama 8 jam. Sebaliknya hemisfera selatan mengalami waktu malam yang lebih panjang iaitu selama 16 jam berbanding waktu siang yang singkat iaitu selama 8 jam. Semasa solstis musim sejuk pula, matahari tengah hari berada tegak di atas garisan jadi di hemisfera selatan. Keadaan ini menyebabkan hemisfera selatan mengalami waktu siang yang lebih panjang iaitu selama 16 jam berbanding waktu malam yang lebih singkat iaitu selama 8 jam. Sebaliknya, hemisfera utara mengalami waktu siang yang lebih pendek iaitu selama 8 jam berbanding waktu malam yang lebih panjang iaitu selama 16 jam.

Ting 6R : Geografi 1 : Bagaimanakah tenaga suria mempengaruhi kegiatan pertanian di kawasan tropika lembap. [8m]

Kawasan tropika lembap ialah kawasan yang menrima suhu yang tinggi iaitu lebih 27 darjah celcius sepanjang tahun dan hujan yang lebat melebihi 2000mm setahun. Penerimaan tenaga suria sepanjang tahun menggalakkan proses fotosintesis bagi tumbuhan hijau. Ini bermakna kegiatan penanaman dapat dilakukan sepanjang tahun. Hasil pertanian juga dapat dikutip sepanjang tahun.
Tenaga matahari yang banyak juga dapat menggalakkan pelbagai jenis tanaman tropika di kawasan tropika lembap. Suhu yang tinggi dan bekalan air hujan yang banyak sangat sesuai untuk penghasilan tanaman tropika sperti padi, getah, kelapa sawit, koko, kopi, teh dan sebagainya. Bahkan negara-negara tropika merupakan antara pengeluar sumber makanan yang terbanyak di dunia.
Tenaga suria yang banyak di kawasan tropika juga menggalakkan pelbagai jenis aktiviti pertanian. Kerja-kerja penanaman seperti membajak, membaja, menuai dan meracun rumpai dapat dilakukan sepanjang tahun.
Tenaga matahari yang panas dan terik juga penting untuk mengeringkan pelbagai hasil pertanian. Padi yang telah dituai, koko, getah skrap dan keping serta daun tembakau perlu dijemur supaya terjamin mutunya.

Sunday, June 24, 2007

Ting 6R : Geografi 1 : Apakah yang dimaksudkan dengan sistem geomorfologi ?

Maksud geomorfologi ialah satu kajian saintifik terhadap agen-agen geomorfologi. Agen-agen geomorfologi melakukan proses-proses geomorfologi. Proses-proses geomorfologi mengukir permukaan bumi. Hasilnya terbentuk pelbagai konfigurasi landskap di permukaan bumi.

Saturday, June 23, 2007

Geografi 1 6R : Bagaimana gerakan bumi mempengaruhi taburan tenaga suria di permukaan bumi

(Calon boleh melukiskan gambar rajah yang berkaitan dengan putaran dan edaran bumi)

Kedua-dua fenomena edaran bumi dan putaran bumi pada paksinya adalah mempengaruhi variasi terhadap tenaga suria di permukaan bumi.. Hal ini demikian kerana beberapa perkara yang berkaitan, iaitu pertamanya, mengenai putaran bumi atau bagaimana putaran bumi pada paksinya mempengaruhi variasi terhadap tenaga suria di permukaan bumi.
Putaran bumi pada paksi kecondongan yang bersudut 231/2 darjah itu menyebabkan fenomena siang dan malam terjadi. Bumi mengambil masa 24 jam bagi membuat satu putaran yang lengkap. Bumi berputar mengikut arah Barat ke Timur. Bahagian permukaan bumi yang menghadap ke arah matahari akan mengalami waktu siang serta menerima taburan tenaga suria yang banyak berbanding dengan bahagian bumi yang menga1ami waktu malam.
Semasa bumi berputar pada paksinya, bumi juga pada masa yanbg sama, beredar mengelilingi matahari. Mengikut orbitnya yang berbentuk elips. Satu peredaran yang lengkap akan mengambil masa selama setahun atau 365 hari. Peredaran dan kecondongan paksi bumi sememangnya menyebabkan kejadian empat musim yang nyata dalam setahun dan jangka waktu siang dan malam yang tidak sama panjang di tempat-tempat yang berbeza di seluruh dunia..
Peredaran bumi mengelilingi matahari menyebabkan bumi berada dalam kedudukan yang berbeza dalam orbitnya. Pada 22 Disember, matahari berada tegak di atas kepala di Garis Jadi di Hemisfera Selatan, dipanggil solstis musim dingin. Pada ketika ini, Hemisfera Selatan mengalami musim panas manakala Hemisfera Utara mengalami musim sejuk. Kawasan-kawasan di Hemisfera Selatan yang mengalami musim panas ketika ini akan menerima Iebih banyak tenaga matahari. Sebaliknya, kawasan-kawasan di Hemisfera Utara yang mengalaini musim dingin pula akan menerima kurang tenaga suria.
Pada masa yang sama, kawasan-kawasan di Hemisfera Selatan mengalami waktu siang yang lebih panjang iaitu lebih daripada 12 ja.m. Semakin hampir ke arah kutub selatan, waktu siang bertambah. Kawasan di kutub selatan pula mengalami 24 jam siang. Justeru, jumlah tenaga suria yang diterima di Hemisfera Selatan menerima tenaga suria yang banyak. Sebaliknya pada ketika ini, Hemisfera Utara menga1ami waktu siang yang lebih pendek. dan taburan tenaga matahari adalah rendah berbanding dengan kawasan yang terletak di Hemisfera Selatan. Keadaan yang sebaliknya berlaku di kedua-dua atmosfera pada solstis musim panas pada 21 Jun.
Matahari tengah hari berada tegak di atas kepa1a di Garisan Khatulistiwa 2 kali dalam setahun, iaitu pada 21 Mac (Ekuinoks musim bunga) dan 23 September (Ekuinoks musim luruh). Pada ketika ini, seluruh dunia akan menerima waktu siang dan malam yang sama panjang dan taburan tenaga suria juga sama banyak di seluruh permukaan bumi.
Taburan tenaga di permukaan bumi juga berbeza-beza mengikut masa yang berlainan akibat jarak bumi yang berbeza-beza dari matahari. Orbit bumi yang beredar mengelilingi matahari dalam bentuk elips, jaraknya tidak sama panjang atau jauh sepanjang tahun. Bahagian orbit yang dekat dengan matahari dipanggil perihelion. Pada ketika ini, jumlah tenaga yang diterima oleh permukaan bumi lebih banyak berbanding semasa afelion.


Geografi 1 6R : Terangkan faktor-faktor yang mempengaruhi proses albedo.

Albedo merujuk kepada keupayaan permukaan bumi untuk membalikkan tenaga atau bahangan matahari oleh permukaan bumi yang dinyatakan dalam bentuk peratus.
Bentuk muka bumi sama ada kawasan bergunungganang atau tanah pamah mempunyai nilai albedo yang berlainan. Kawasan tanah pamah mempunyai nilai albedo yang lebih tinggi kerana sudut pembalikan cahaya yang lebih besar manakala kawasan bergunung-ganang mempunyai nilai albedo yang lebih rendah kerana sudut pembalikan permukaan yang lebih kecil.
Selain itu nilai albedo sesuatu kawasan juga dipengaruhi oleh jenis litupan bumi. Bagi kawasan yang dilitupi oleh hutan tebal seperti hutan primer, nilai albedo lebih rendah manakala bagi kawan yang jarang tumbuh-tumbuhan atau kawasan hutan sekunder mempunyai nilai albedo yang lebih tinggi.
Warna permukaan juga mempengaruhi nilai albedo. Permukaan yang berwarna lebih cerah mempunyai nilai albedo yang lebih tinggi berbanding kawasan permukaan gelap. Misalnya kawasan bersalji yang tidak berhutan akan mengalami nilai albedo yang lebih tinggi daripada kawasan yang tidak bersalji dan tidak berhutan.
Di samping itu, kawasan yang mempunyai ciri-ciri permukaan yang licin mempunyai nilai albedo yang lebih tinggi dibandingkan dengan permukaan yang lebih kasar.

Geografi 1 6R : Jelaskan konsep tenaga ?

Tenaga merupakan keupayaan untuk melakukan sebarang kerja. Tenaga tidak boleh diukur secara langsung tetapi dapat diukur melalui kerja yang maksimum yang boleh dilakukan dengan tenaga tersebut. Unit ukuran bagi tenaga ialah joule, kalori atau Btu. Tenaga terdiri daripada tenaga keupayaan, tenaga kinetik, tenaga haba, tenaga cahaya dan tenaga pendam. Tenaga juga boleh dibahagikan kepada tenaga yang boleh diperbaharui dan tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Tenaga yang boleh diperbaharui adalah tenaga yang tidak akan habis walaupun digunakan secara berterusan seperti tenaga solar, tenaga hidroelektik, tenaga biomas, tenaga angin dan arang kayu. Manakala tenaga yang tidak boleh diperbaharui ialah tenaga akan habis jika digunakan secara berterusan seperti tenaga daripada petroleum, arang batu dan tenaga nuklear.

Geografi 1 6R :Apakah yang dimaksudkan dengan sistem suria ?

Sistem suria merupakan satu sistem planet dalam galaksi bima sakti. Ia terdiri daripada matahari dan sembilan buah planet iaitu utarid, zuhrah, bumi, marikh, musytari, zuhal, uranus, neptun dan pluto. Terdapat juga jasad-jasad lain seperti asteroid, komet, meteor, meteorit dan gumpalan awan serta habuk planet. Kesemua planet dan jasad dalam angkasa beredar mengelilingi matahari dalam orbit yang berbentuk elips.

Wednesday, June 20, 2007

Geografi 1 6 Rendah : Jelaskan secara ringkas perbezaan tenaga eksogenik dengan tenaga endogenik.

Tenaga eksogenik berpunca dari luar sistem bumi iaitu dari matahari dan sampai dalam bentuk tenaga haba dan tenaga cahaya. Tenaga endogenik pula berpunca dari dalam bumi dan terkumpul dalam bentuk tenaga radiogenik. Tenaga eksogenik menyebabkan kejadian agen-agen geomorfologi seperti air mengalir, ombak, angin, glasier dan kejadian luluhawa manakala tenaga endogenik menyebabkan berlakunya gerakan tektonik yang berhubung dengan kejadian gempa bumi, kejadian gunung berapi, kejadian lipatan kerak bumi dan kejadian gelinciran.

Tuesday, June 19, 2007

Geografi 1 6 Rendah : Apakah yang dimaksudkan dengan ekuinoks dan solstis?

Ekuinoks bermakna seluruh permukaan bumi menerima waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam masing-masing. Matahari berada tegak di atas garisan khatulistiwa. Fenomena ini hanya berlaku pada 21 mac (ekuinoks musim bunga) dan 23 september (ekuinoks musim luruh).
Solstis bermakna penerimaan waktu siang dan malam yang tidak sama panjang di permukaan bumi. Pada 21 Jun (solstis musim panas), hemisfera utara mengalami waktu siang yang lebih panjang daripada waktu malam berbanding hemisfera selatan. Sebaliknya pada 22 disember (solstis musim sejuk), hemisfera selatan mengalami waktu siang yang lebih panjang berbanding waktu malam. Ketika fenomena ini, matahari tengah hari berada tegak di garisan sartan semasa solstis musim panas dan matahari tengah hari berada tegak di garisan jadi semasa solstis musim sejuk.

Monday, June 18, 2007

Tingkatan 6R : Geografi 1 :Apakah yang dimaksudkan dengan tenaga eksogenik?

Tenaga eksogenik bermaksud tenaga yang berpunca dari luar sistem bumi, terutamanya dari sumber tenaga suria. Tenaga ini bertanggungjawab terhadap kejadian unsur-unsur cuaca dan iklim seperti hujan, suhu, kelembapan udara, angin dan sebagainya. Unsur-unsur ini pula menyebabkan kejadian agen-agen geomorfologi.

Sunday, June 17, 2007

Tingkatan 6R : Geografi 1 : "Bumi boleh dianggap sebagai satu sistem terbuka" Jelaskan.

Bumi dianggap sebagai satu sistem terbuka kerana sistem-sistem dalam bumi membenarkan kemasukan tenaga haba dan jisim (iaitu air) untuk menghidupkan seluruh pemboleh ubah dalam subsistem bumi seperti geomorfologi, ekologi, atmosfera, hidrologi dan lain-lain. Tenaga dan air melakukan pelbagai proses dalam sistem bumi. Akhirnya setelah melakukan pelbagai proses dalam sistem bumi, tenaga haba dan jisim akan keluar dari sistem.

Tingkatan 6R : Geografi 1 :Apakah yang dimaksudkan dengan sistem?

Sistem bermaksud satu himpunan pembolehubah atau komponen yang berada dalam satu sempadan yang arbitari. Terdapat hubungkait yang sangat kompleks di antara komponen-komponen ini. Semua sistem berusaha mencapai titik keseimbangan. Jika terdapat gangguan-gangguan yang kecil, sistem akan mencari titik keseimbangan yang terbaru. Tetapi jika gangguan itu besar, ia boleh memusnahkan seluruh sistem mengikut masa.

Sunday, June 10, 2007

Tingkatan 6R : Geografi 1 :Jenis-Jenis Sistem

Terdapat tiga jenis sistem termodinamik. Sistem-sistem di bawah mengkaji kadar perhubungan sistem dengan alam sekitar.
  1. Sistem pencil- Sistem ini di asingkan dari kawasan sekeliling. Sistem ini tidak mengalami pemindahan tenaga atau jisim. Biasanya, didapati melalui penyelidikan makmal.
  2. Sistem tertutup - Sistem ini terbuka untuk pertukaran tenaga tetapi tertutup terhadap pertukaran jisim seperti bumi menerima tenaga solar daripada matahari tetapi tidak menerima jisim daripada matahari.
  3. Sistem terbuka - Sistem ini terbuka terhadap pertukaran jisim dan tenaga. Hampir kesemua sistem biologi adalah sistem terbuka.