Karangan Cereka
Ciri-ciri
· Cereka bermaksud cerita rekaan.
· Oleh itu, karangan yang dihasilkan adalah dalam bentuk rekaan.
· Terdapat watak-watak, plot dan teknik plot yang mendasarinya.
· Karangan yang menarik harus mempunyai susunan peristiwa, iaitu bermula dengan permulaan, perkembangan, kemuncak dan penutup. Kemasukan unsur-unsur ketegangan akan membuatkan karangan lebih menarik.
· Pelajar perlu menggunakan bahasa yang sangat kreatif.
· Dalam karangan jenis ini, bentuk-bentuk perbualan atau percakapan boleh dimasukkan supaya karangan kelihatan lebih realistik.
Contoh Soalan
Jam di dinding menunjukkan hampir pukul 9.30 pagi. Pada hari Ahad begini lazimnya kami sekeluarga pergi berjalan-jalan. Namun, ketika duduk bersarapan di meja makan, aku keseorangan. Hatiku tertanya-tanya manatah perginya ahli keluarga yang lain? Aku terus menyapu seri kaya pada sekeping roti lalu menyuapnya ke mulut. Air kopi panas yang disediakan oleh Mak Munah kuhirup perlahan-lahan. Mulakan perenggan seterusnya untuk menyambung cerita anda berdasarkan perenggan di atas.
Rangka Jawapan
Isi
· Sebentar kemudian kelihatan kakak keluar dari bilik tidurnya – aku bertanyakan ayah dan ibu serta adik-adik yang lain – kakak hanya tersenyum simpul – memberitahu mereka telah keluar awal pagi tadi – hatiku memberontak kerana tidak diajak bersama – malah, aku turut berasa hairan apa yang menggelikan hati kakak sehingga dia tidak habis-habis tersenyum sendirian.
· Aku menghabiskan masa membaca novel di dalam bilik – jam sudah pun menunjukkan pukul 2.30 petang – hatiku panas tidak terkira memikirkan tindakan mereka meninggalkan aku bersendirian di rumah bersama kakak – puas aku memujuk kakak supaya membawa aku berjalan-jalan – pelbagai alasan yang diberikan – aku terpaksa beralah.
· Aku mula naik angin apabila mereka tidak pulang-pulang walaupun sudah petang – aku mengetuk pintu bilik kakak dengan kuat – perasaan marahku tidak lagi mampu disembunyikan – kakak meminta aku bersabar – aku tidak peduli – sama ada dia bawa aku keluar berjalan-jalan atau aku akan merajuk sepanjang hari – kakak akur dengan permintaanku – aku tersenyum girang.
Penutup
Menaiki teksi menuju ke sebuah bukit – kelihatan sebuah hotel tersergam di atas puncak bukit itu dalam kawasan yang terjaga rapi – aku mengingatkan kakak bahawa makanan di hotel mahal – kakak masih belum bekerja – aku ketawa besar apabila dia mengatakan dia telah menang loteri – pintu hotel terbuka luas – satu sorakan kedengaran – seluruh ahli keluargaku berada di situ – rupa-rupanya mereka telah menempah beberapa meja untuk meraikan hari jadiku – aku terkedu - sambil memeluk ayah dan ibu, air mata kegembiraan mengalir di pipiku.
Soalan Latihan
1. Aku berasa hairan melihat wanita tua itu. Setiap hari dia pasti memanggil mana-mana anak gadis yang lalu di hadapan rumahnya. Satu hari…Lengkapkan cerita di atas.
2. Mulakan sebuah cerita yang menarik yang disudahi dengan ayat, “…semenjak hari itu aku tidak berani lagi keluar malam”.
3. Anda terpaksa pulang lewat dari sekolah pada hari itu. Sedang anda menunggu bas, anda terlihat seorang kanak-kanak diculik oleh sekumpulan penjahat. Ceritakan apa yang anda lakukan setelah melihat kejadian itu.
Tuesday, May 22, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment