Tarikh-Tarikh Penting

Tarikh Penting

  • Mac, 21 - Hari Hutan Sedunia
  • Mac, 22 - Hari Air Sedunia
  • Mac, 23 - Hari Meteorologi Sedunia
  • April, 22 - Hari Bumi
  • Jun, 05 - Hari Alam Sekitar Sedunia
  • Okt., 08 - Hari Antarabangsa Pembasmian Kemusnahan Semula Jadi
  • Okt., 22-27 : Minggu Alam Sekitar Malaysia

http://img1.blogblog.com/img/icon18_wrench_allbkg.png

Showing posts with label Tema Sistem Bumi. Show all posts
Showing posts with label Tema Sistem Bumi. Show all posts

Thursday, May 6, 2010

Pengaruh Taburan Tenaga Suria Terhadap Kehidupan Manusia

Pengaruh taburan tenaga suria di permukaan bumi terhadap kehidupan manusia.
Taburan tenaga suria mempunyai pengaruh yang besar terhadap kehidupan manusia. Dalam bidang pertanian, tenaga suria sangat penting untuk proses tumbesaran tanaman. Ini kerana tumbuhan hijau memerlukan cahaya matahari dalam proses fotosintesis untuk membuat makanan. Di kawasan yang menerima banyak pancaran matahari sepanjang tahun seperti di kawasan tropika lembap, pelbagai jenis tanaman tropika dapat ditanam seperti getah, kelapa sawit, koko, teh dan sebagainya. Hasil tanaman ini merupakan sumber eksport yang penting bagi negara-negara tertentu dan membuka banyak peluang perkerjaan kepada penduduk seterusnya memperkembangkan lagi industri hiliran yang berkaitan. Tenaga suria juga diperlukan dalam pelbagai aktiviti pertanian seperti proses pengeringan, aktiviti pembajakan, aktiviti meracun dan penanaman. Di kawasan tropika lembap, aktiviti-aktiviti seperti ini dapat dijalankan sepanjang tahun. Sebaliknya di kawasan yang tidak menerima pancaran matahari sepanjang tahun seperti negara-negara yang berada di sekitar garis lintang sederhana dan tinggi, tempoh penerimaan bahangan suria adalah terhad, iaitu antara tiga hingga lima bulan sahaja menyebabkan pertanian terpaksa diusahakan dengan menggunakan teknik rumah kaca. Pertanian secara terbuka tertumpu kepada jenis pertanian jangka pendek sahaja seperti penamanan sayur-sayuran. Penanaman tanaman hawa sederhana giat dimajukan seperti gandum dan buah-buahan hawa sederhana. Namun kegiatan pertanian hanya dapat dijalankan pada musim bunga dan musim panas sahaja kerana pada musim sejuk kebanyakan kawasan penanaman dilitupi salji.
Selain daripada kegiatan pertanian, taburan tenaga suria juga penting dalam aktiviti perikanan. Tenaga suria amat penting dalam menentukan pertumbuhan dan pembiakan plankton. Bekalan plankton yang mencukupi akan menggalakkan pertambahan pelbagai hidupan ekosistem laut seperti pembiakan dan pertambahan pelbagai jenis ikan. Di kawasan tropika yang menerima pancaran matahari sepanjang tahun akan menggalakkan pertumbuhan plankton seterusnya menggalakkan pembiakan pelbagai jenis ikan. Keadaan ini menyebabkan kegiatan perikanan dapat dilakukan sepanjang tahun. Di kawasan yang tidak menerima pancaran matahari sepanjang tahun seperti kawasan bermusim, pembiakan plankton adalah terhad pada musim bunga dan musim panas sahaja. Tambahan pula air laut menjadi sejuk dan kebanyakan kawasan, air laut mengalami pembekuan pada musim sejuk. Fenomena ini tidak menggalakkan aktiviti perikanan dijalankan.
Taburan tenaga suria juga mempengaruhi kegiatan penternakan dijalankan. Kawasan tropika yang bersuhu panas dan menerima hujan yang lebat sepanjang tahun menggalakkan pertumbuhan padang rumput. Hal ini membolehkan kegiatan penternakan kambing dan lembu secara terbuka dapat dijalankan pada sepanjang tahun. Sebaliknya, di kawasan bermusim, kebanyakan ternakan dijalankan secara intensif, iaitu dijalankan dalam kandang bagi mengelakkan binatang ternakan mati kesejukan. Di samping itu, di Amerika Syarikat, ternakan dipindahkan mengikut tiupan angin Chinook terutama di kawasan Banjaran Rocky. Di sebelah kawasan yang menghadap angin, lazimnya berkeadaan sejuk tetapi di kawasan lindungan angin keadaannya lebih panas. Oleh itu, pengembala membawa ternakan ke kawasan yang beriklim lebih panas. Di sesetengah kawasan pula, kegiatan penternakan terbuka hanya boleh dilakukan pada musim bunga dan musim panas. Apabila tiba musim sejuk, binatang ternakan dikurung di dalam kandang dan makanan perlu disediakan.
Taburan tenaga matahari juga mempengaruhi kehidupan manusia dari segi aktiviti pelancongan. Kawasan tropika lembap yang berkeadaan panas sepanjang tahun menjadi destinasi para pelancong terutama dari negara-negara yang mengalami musim sejuk. Mereka gemar mandi di laut dan berjemur di pinggir pantai yang berpasir. Di negara yang bermusim, aktiviti pelancongan terjejas menyebabkan lebih ramai pelancong ke kawasan beriklim tropika dan juga iklim Mediterranean. Bagaimanapun, aktiviti pelancongan sukan salji meningkat di kawasan iklim sederhana dunia. Salji yang tebal akibat kekurangan bahangan suria menjadikan kawasan-kawasan pergunungan amat sesuai untuk aktiviti sukan bermain luncur ais dan sebagainya. Aktiviti di pantai tidak dapat dilakukan terutama pada musim sejuk. Ini kerana suhu yang rendah bukan sahaja menghalang aktiviti bahkan membahayakan nyawa.
Taburan tenaga suria juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi kegiatan pembalakan. Intensiti tenaga suria yang tinggi di kawasan tropika lembap menggalakkan pertumbuhan pelbagai jenis spesies kayu keras seperti jati, keruing, merbau, jelutong dan sebagainya. Ini menjadikan negara-negara beriklim tropika menjadi pengeksport utama kayu keras dunia seperti Myanmar, Thailand, Indonesia dan lain-lain lagi. Namun begitu pada musim hujan, kegiatan pembalakan menghalang kerja-kerja memunggah kayu balak kerana jalan berlumpur. Di negara-negara beriklim sederhana seperti Scadinavia, Finland dan sebagainya, keadaan yang sejuk dan bersalji memungkinkan perusahaan pembalakan dijalankan dengan lebih giat. Keadaan ini berlaku kerana balak-balak mudah dibawa keluar dengan menariknya di atas kawasan berais atau bersalji.
Kehidupan harian manusia juga dipengaruhi oleh taburan tenaga suria dari segi tempat tinggal, jenis pakaian, aktiviti rekreasi dan sebagainya. Di kawasan tropika, aktiviti sosial seperti sukan boleh dijalankan pada sepanjang tahun, manakala di kawasan bermusim aktiviti berkenaan terhad pada musim panas. Dari segi pakaian pula, penduduk di kawasan tropika perlu menggunakan pakaian nipis daripada kain kapas atau nilon pada sepanjang tahun, manakala penduduk di kawasan bermusim memilih pakaian mengikut musim, iaitu pakaian tebal pada musim sejuk dan pakaian nipis pada musim panas.

Kesan Bahangan Suria Terhadap Luluhawa

KESAN BAHANGAN SURIA TERHADAP LULUHAWA


Bahangan suria banyak memberi kesan kepada luluhawa khasnya luluhawa fizikal. Ini kerana kebanyakan proses luluhawa fizikal yang berlaku mendapat pengaruh daripada bahangan pensuriaan. Contohnya proses kembang kecut, penghabluran garam serta proses pembasahan.

Proses kembang kecut dalam luluhawa fizikal giat berlaku di kawasan gurun yang mengalami iklim panas dan kering. Akibat ketiadaan tompokkan awan dan tumbuhan yang melindungi bumi, cahaya matahari dapat di pancarkan terus ke muka bumi. Keadaan itu tadi kemudiannya menyebabkan batuan mengalami pengembangan dan pengecutan pada malam hari ekoran penurunan suhu yang cepat. Proses kembang kecut ini akhirnya menyebabkan batuan pecah dalam pelbagai cara iaitu pengelupasan, serpihan dan relaian bijian.

Selain itu,proses penghabluran garam yang berlaku dalam kejadian luluhawa yang adalah kesan pengaruh bahangan suria juga. Buktinya proses ini juga giat di kawasan gurun yang panas.Ini kerana kadar sejatan yang tinggi kesan daripada bahangan suria boleh menyebabkan air di bawah tanah tertarik ke permukaan lalu tersejat.

Di samping itu, proses pembasahan dan pengeringan yang berlaku di kawasan yang mengalami kemarau dan lembab yang nyata adalah kesan daripada bahangan suria juga. Ini kerana batuan yang terkena bahangan suria atau suhu yang tinggi semasa musim kemarau akan mengalami pengeringan lalu mengecut dan kemudiannya membentuk tegasan pada struktur batuan tadi.

Kesan Bahangan Suria Terhadap Hakisan

KESAN BAHANGAN SURIA TERHADAP HAKISAN
Hakisan bermaksud proses penghausan atau pengukiran permukaan bumi oleh agen-agen yang bergerak seperti air mengalir, titisan hujan, angin, glasier dan ombak. Hakisan berlaku dengan adanya tenaga kinetik dan bahan yang dibawa oleh agen yang bergerak seperti pasir, kelikir, batu tongkol dan lain-lain yang berfungsi sebagai alat penghakis. Kesan-kesan hakisan ialah sesuatu permukaan bumi mengalami penghausan, kelaran tergondol dan perendahan.
Kewujudan agen-agen bergerak seperti air mengalir, titisan hujan, angin, glasier dan ombak berpunca daripada satu sumber tenaga utama iaitu matahari. Kewujudan hujan yang menjadi punca kepada pembentukan sungai bermula daripada proses sejatan yang berlaku apabila matahari memanaskan permukaan bumi, laut, tasik, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Lanjutan daripada proses sejatan, wap-wap air yang naik ke atmosfera akan mengalami proses pemeluwapan sebelum terbentuknya awan dan kerpasan. Kerpasan yang turun akan membentuk hujan atau salji yang menjadi punca kepada pembentukan sungai dan penghasilan glasier. Pengaliran sungai dan pergerakan glasier menuruni sesuatu cerun akan menghasilkan pelbagai bentuk muka bumi hakisan.
Bahangan suria juga bertanggungjawab terhadap pembentukan perbezaan tekanan udara di permukaan bumi. Kawasan yang menerima lebih banyak bahangan suria akan menjadi kawasan tekanan rendah kerana udaranya menjadi lebih ringan manakala kawasan yang lebih sejuk akan menjadi kawasan tekanan tinggi. Udara akan bergerak dari kawasan tekanan tinggi (kawasan sejuk) ke kawasan tekanan rendah (kawasan panas). Pergerakan udara ini akan mewujudkan pergerakan angin. Angin pula merupakan satu agen hakisan yang penting terutamanya di kawasan gurun. Angin juga menjadi punca kepada pembentukan ombak yang merupakan agen hakisan yang paling dominan di kawasan pinggir pantai.
Jelaslah bahawa bahangan suria merupakan tenaga penggerak utama kepada semua proses hakisan. Bermula daripada hakisan di permukaan seperti hakisan percikan dan hakisan lembaran (hakisan meluas) semasa hujan turun, hakisan air mengalir terutamanya hakisan di lembangan sungai, hakisan ombak di pinggir pantai, hakisan glasier di kawasan tanah tinggi terglasier dan hakisan angin di gurun.
Pelbagai bentuk muka bumi hakisan telah dihasilkan akibat kewujudan agen-agen hakisan di atas. Hakisan percikan dan hakisan meluas telah menghasilkan lekukan-lekukan dan kelaran-kelaran di permukaan bumi di kawasan tadahan hingga terbentuknya alur-alur sementara seperti galir dan galur. Alur-alur kekal seperti anak-anak sungai, cawangan-cawangan dan sungai-sungai utama. Di alur-alur sungai pula pelbagai bentuk muka bumi hasil hakisan terbentuk seperti lurah bentuk V, lubuk, jeram dan air terjun.

Pembentukan ombak juga tidak kurang pentingnya dalam penghasilan pelbagai bentuk muka bumi hakisan terutamanya di pinggir laut. Antaranya penghasilan bentuk muka bumi seperti tebing tinggi, pelantar hakisan ombak, tanjung dan teluk, gua laut, geo, gerbang laut, batu tunggul dan tunggul sisa. Di gurun, angin menghasilkan pelbagai bentuk muka bumi hakisan seperti lekukan layangan angin dan oasis, pembentukan batu tenggek dan gerbang batu, zeugen dan yardang, serta pembentukan ventifact dan drikenter. Glasier pula menghasilkan pelbagai bentuk muka bumi hakisan yang menarik seperti puncak piramid, kori dan rabung aret, lurah gantung dan lurah bentuk U.

Peranan Tenaga Suria Terhadap Haiwan

Peranan Tenaga Suria Terhadap Haiwan

Cahaya matahari ialah sumber tenaga yang utama bagi bumi kita. Sumber tenaga ini boleh diubah dari satu bentuk kepada satu bentuk yang lain dan menjadi pelbagai sumber tenaga yang diperlukan oleh kehidupan dalam bumi. Cahaya matahari membekalkan sumber tenaga yang mencukupi untuk kehidupan tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Tenaga suria boleh disimpan dalam pelbagai bentuk. Ia membekalkan tenaga kepada pelbagai benda hidup di dalam bumi dan membolehkan segala hidupan dapat hidup di atas bumi kita. Bermula daripada proses fotosintesis, tumbuh-tumbuhan menukarkan tenaga suria kepada glukosa. Tenaga ini akan masuk ke dalam rantaian makanan apabila haiwan herbivor memakan tumbuh-tumbuhan. Haiwan karnivor pula akan memakan haiwan herbivor. Tenaga ini akan seterusnya mengalir berterusan mengikut aras trofik sesuatu rantaian makanan.

Tenaga suria juga membekalkan cahaya dan haba yang mencukupi untuk pembiakan haiwan. Haba diperlukan dalam proses pembiakan. Terdapat haiwan seperti burung, reptilia dan amfibia memerlukan haba yang mencukupi untuk menetaskan telurnya. Pembentukan musim oleh peredaran matahari akan memberi peluang kepada haiwan tertentu untuk proses mengawan. Ada juga haiwan akan menyesuaikan proses pembiakan mengikut musim. Pada musim sejuk, haiwan mengawan dan akan membiak pada musim bunga dan musim panas terutamanya di kawasan sejuk dan sederhana dunia. Contohnya proses pembiakan beruang kutub, musang, rusa dan haiwan-haiwan di kawasan kutub mempunyai musim pembiakan yang hampir sama.

Tenaga membentuk peredaran musim sangat mempengaruhi kehidupan haiwan. Perubahan musim tentunya memberi kesan kepada habitat haiwan yang tinggal di sesuatu kawasan yang berubah musim. Pertamanya apabila berlaku musim sejuk, haiwan lazimnya akan berpindah ke kawasan baru atau berhijrah ke kawasan yang lebih panas. Sebagai contoh, burung layang-layang akan berpindah ke kawasan Asia Tenggara dari Negara China apabila tibanya musim sejuk di Negara berkenaan. Oleh itu, dalam bulan-bulan musim sejuk di Hemisfera Utara, terdapat banyak burung layang-layang di Malaysia.

Perpindahan haiwan juga berlaku untuk mencari makanan. Kawasan-kawasan yang mengalami musim sejuk, lebih sukar untuk memperolehi makanan kerana permukaan bumi dilitupi salji. Oleh itu, haiwan terpaksa berhijrah ke kawasan yang lebih panas yang menjamin makanan yang mencukupi. Kebanyakan haiwan dapat mencari makanan mengikut musim. Pada musim bunga dan musim panas, Banyak tumbuhan yang mulai tumbuh. Tumbuhan akan membekalkan makanan kepada haiwan.

Sesetengah haiwan yang tidak memperolehi cahaya suria yang mencukupi akan berhibernasi untuk memperolehi tenaga. Misalnya hidupan di dasar kolam yang dalam akan mengurangkan pergerakannya untuk mengelakkan kehilangan tenaga.