Tarikh-Tarikh Penting

Tarikh Penting

  • Mac, 21 - Hari Hutan Sedunia
  • Mac, 22 - Hari Air Sedunia
  • Mac, 23 - Hari Meteorologi Sedunia
  • April, 22 - Hari Bumi
  • Jun, 05 - Hari Alam Sekitar Sedunia
  • Okt., 08 - Hari Antarabangsa Pembasmian Kemusnahan Semula Jadi
  • Okt., 22-27 : Minggu Alam Sekitar Malaysia

http://img1.blogblog.com/img/icon18_wrench_allbkg.png

Sunday, February 6, 2011

El-Nino dan La-Nina

EL Nino / La-Nina : Kesannya ke atas cuaca di Malaysia

Apakah El Nino ?

Setiap tiga ke tujuh tahun, suatu arus laut yang panas menggantikan suatu arus laut yang kebiasaannya sejuk di luar pantai Peru, Amerika Selatan. Fenomena lautan yang diperhatikan ini dipanggil El Nino. Pemanasan lautan ini didapati berlaku di kawasan yang luas meliputi Pasifik tengah dan timur serta mempunyai kaitan dengan keadaan kejadian luar biasa cuaca yang ketara di tempat-tempat tertentu di dunia seperti banjir yang teruk dan kemarau yang berpanjangan. Di Asia Tenggara, Indonesia dan Australia, keadaan-keadaan lebih kering dari normal berlaku sementara di Pasifik tengah dan timur berhampiran khatulistiwa kebiasaannya lembap dialami.

Secara lazimnya, El Nino berlaku untuk tempoh 9 ke 18 bulan. Biasanya ia mula terbentuk pada awal tahun, berada di kemuncak pada akhir tahun dan menjadi lemah pada awal tahun yang berikutnya. El Nino yang mempunyai keamatan yang sama tidak semestinya menghasilkan corak iklim yang sama.

Bagaimana El Nino dikaitkan dengan keadaan-keadaan atmosfera?

Semasa El Nino, perairan yang lebih panas di Pasifik tengah dan timur membekalkan haba dan lembapan tambahan kepada atmosfera yang berada di atasnya. Ini mendorong pergerakan menaik yang kuat dan dengan demikian merendahkan tekanan permukaan di dalam kawasan pergerakan menaik itu. Udara lembap yang naik itu terpeluwap lalu membentuk kawasan ribut petir yang luas dan hujan lebat di kawasan berkenaan. Di bahagian barat Pasifik termasuk Malaysia, tekanan atmosfera meningkat, menyebabkan cuaca menjadi lebih kering.

Di rajah di atas, tekanan permukaan atmosfera rendah (L) terletak dalam permukaan perairan lautan yang lebih panas. Semasa ketiadaan El Nino, tekanan permukaan di Pasifik barat biasanya rendah manakala di tengah dan timur Pasifik adalah tinggi. Di bawah keadaan ini, pada amnya Pasifik barat adalah lembap sementara Pasifik tengah dan timur adalah kering.

Corak tekanan permukaan yang berselang-seli di kawasan tropika Lautan Pasifik, yang mana keadaan lautan bertukar dari El Nino ke normal dipanggil Ayunan Selatan (SO). Hubungan di antara atmosfera dan lautan semasa kejadian El-Nino ini dikenali sebagai El Nino-Ayunan Selatan (El-Nino Southern Oscillation, ENSO).

Adakah fasa yang berlawanan dengan fasa El Nino (La Nina) ?

Pada masa-masa tertentu, walaupun tidak selalu, suhu permukaan laut di Pasifik tengah dan timur menjadi lebih rendah dari biasa. Fenomena ini di panggil La Nina - keadaan bertentangan dengan El Nino. Dalam keadaan ini, tekanan atmosfera permukaan di kawasan khatulistiwa Pasifik barat menurun, menyebabkan pembentukkan awan yang lebih dan hujan lebat.
Semasa keadaan-keadaan La Nina, tekanan atmosfera yang tinggi (H) terbentuk di Pasifik tengah dan timur manakala tekanan rendah (L) berkedudukan lebih ke arah Pasifik barat.

Bagaimana kita memantau El Nino dan reaksi atmosfera?

Parameter-parameter asas yang digunakan untuk memantau El Nino dan reaksi atmosfera termasuklah suhu permukaan laut di kawasan khatulistiwa Lautan Pasifik, suhu di bawah permukaan lautan sehingga ke kedalaman 150m, keadaan awan serta corak hujan yang luar biasa. Oleh kerana tekanan atmosfera dan suhu laut berkait rapat, suatu indeks atmosfera yang dipanggil Indeks Ayunan Selatan (Southern Oscillation Index, SOI) juga digunakan untuk mengukur reaksi atmosfera ini. Indeks ini dihitung dari perbezaan keadaan turun-naik tekanan udara bulanan antara Tahiti (mewakili Pasifik timur) dan Darwin (mewakili Pasifik barat). Jika terdapat nilai negatif yang nyata bagi SOI, berpanjangan selama sekurang-kurangannya 6 bulan, kita mengalami keadaan EL Nino. Lebih besar nilai negatif lebih tinggi keamatan El Nino. Sebaliknya, nilai positif tinggi menunjukkan keadaan La Nina.



Apakah perubahan iklim semasa El Nino?

Di kawasan tropika, aktiviti-aktiviti ribut petir berpindah dari Pasifik barat ke kawasan Pasifik tengah dan timur, menghasilkan keadaan kering yang luar biasa di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Australia Utara semasa El Nino berlaku. Cuaca yang lebih panas dan kering juga berlaku di Afrika Tenggara, India dan Brazil Utara. Cuaca lebih lembap berlaku sepanjang pantai barat kawasan tropika Amerika Selatan dan pantai teluk di Amerika Utara seperti ditunjuk di rajah di bawah.





2 comments:

Jessica said...

terima kasih banyak-banyak !! :D halaman ini banyak menolong saya dalam folio saya !!!

Anonymous said...

terima kasih kerana melawat blog saya.