Tarikh-Tarikh Penting

Tarikh Penting

  • Mac, 21 - Hari Hutan Sedunia
  • Mac, 22 - Hari Air Sedunia
  • Mac, 23 - Hari Meteorologi Sedunia
  • April, 22 - Hari Bumi
  • Jun, 05 - Hari Alam Sekitar Sedunia
  • Okt., 08 - Hari Antarabangsa Pembasmian Kemusnahan Semula Jadi
  • Okt., 22-27 : Minggu Alam Sekitar Malaysia

http://img1.blogblog.com/img/icon18_wrench_allbkg.png

Thursday, May 6, 2010

Kesan Bahangan Suria Terhadap Hakisan

KESAN BAHANGAN SURIA TERHADAP HAKISAN
Hakisan bermaksud proses penghausan atau pengukiran permukaan bumi oleh agen-agen yang bergerak seperti air mengalir, titisan hujan, angin, glasier dan ombak. Hakisan berlaku dengan adanya tenaga kinetik dan bahan yang dibawa oleh agen yang bergerak seperti pasir, kelikir, batu tongkol dan lain-lain yang berfungsi sebagai alat penghakis. Kesan-kesan hakisan ialah sesuatu permukaan bumi mengalami penghausan, kelaran tergondol dan perendahan.
Kewujudan agen-agen bergerak seperti air mengalir, titisan hujan, angin, glasier dan ombak berpunca daripada satu sumber tenaga utama iaitu matahari. Kewujudan hujan yang menjadi punca kepada pembentukan sungai bermula daripada proses sejatan yang berlaku apabila matahari memanaskan permukaan bumi, laut, tasik, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Lanjutan daripada proses sejatan, wap-wap air yang naik ke atmosfera akan mengalami proses pemeluwapan sebelum terbentuknya awan dan kerpasan. Kerpasan yang turun akan membentuk hujan atau salji yang menjadi punca kepada pembentukan sungai dan penghasilan glasier. Pengaliran sungai dan pergerakan glasier menuruni sesuatu cerun akan menghasilkan pelbagai bentuk muka bumi hakisan.
Bahangan suria juga bertanggungjawab terhadap pembentukan perbezaan tekanan udara di permukaan bumi. Kawasan yang menerima lebih banyak bahangan suria akan menjadi kawasan tekanan rendah kerana udaranya menjadi lebih ringan manakala kawasan yang lebih sejuk akan menjadi kawasan tekanan tinggi. Udara akan bergerak dari kawasan tekanan tinggi (kawasan sejuk) ke kawasan tekanan rendah (kawasan panas). Pergerakan udara ini akan mewujudkan pergerakan angin. Angin pula merupakan satu agen hakisan yang penting terutamanya di kawasan gurun. Angin juga menjadi punca kepada pembentukan ombak yang merupakan agen hakisan yang paling dominan di kawasan pinggir pantai.
Jelaslah bahawa bahangan suria merupakan tenaga penggerak utama kepada semua proses hakisan. Bermula daripada hakisan di permukaan seperti hakisan percikan dan hakisan lembaran (hakisan meluas) semasa hujan turun, hakisan air mengalir terutamanya hakisan di lembangan sungai, hakisan ombak di pinggir pantai, hakisan glasier di kawasan tanah tinggi terglasier dan hakisan angin di gurun.
Pelbagai bentuk muka bumi hakisan telah dihasilkan akibat kewujudan agen-agen hakisan di atas. Hakisan percikan dan hakisan meluas telah menghasilkan lekukan-lekukan dan kelaran-kelaran di permukaan bumi di kawasan tadahan hingga terbentuknya alur-alur sementara seperti galir dan galur. Alur-alur kekal seperti anak-anak sungai, cawangan-cawangan dan sungai-sungai utama. Di alur-alur sungai pula pelbagai bentuk muka bumi hasil hakisan terbentuk seperti lurah bentuk V, lubuk, jeram dan air terjun.

Pembentukan ombak juga tidak kurang pentingnya dalam penghasilan pelbagai bentuk muka bumi hakisan terutamanya di pinggir laut. Antaranya penghasilan bentuk muka bumi seperti tebing tinggi, pelantar hakisan ombak, tanjung dan teluk, gua laut, geo, gerbang laut, batu tunggul dan tunggul sisa. Di gurun, angin menghasilkan pelbagai bentuk muka bumi hakisan seperti lekukan layangan angin dan oasis, pembentukan batu tenggek dan gerbang batu, zeugen dan yardang, serta pembentukan ventifact dan drikenter. Glasier pula menghasilkan pelbagai bentuk muka bumi hakisan yang menarik seperti puncak piramid, kori dan rabung aret, lurah gantung dan lurah bentuk U.

No comments: