Tarikh-Tarikh Penting

Tarikh Penting

  • Mac, 21 - Hari Hutan Sedunia
  • Mac, 22 - Hari Air Sedunia
  • Mac, 23 - Hari Meteorologi Sedunia
  • April, 22 - Hari Bumi
  • Jun, 05 - Hari Alam Sekitar Sedunia
  • Okt., 08 - Hari Antarabangsa Pembasmian Kemusnahan Semula Jadi
  • Okt., 22-27 : Minggu Alam Sekitar Malaysia

http://img1.blogblog.com/img/icon18_wrench_allbkg.png

Thursday, May 6, 2010

Pengaruh Taburan Tenaga Suria Terhadap Kehidupan Manusia

Pengaruh taburan tenaga suria di permukaan bumi terhadap kehidupan manusia.
Taburan tenaga suria mempunyai pengaruh yang besar terhadap kehidupan manusia. Dalam bidang pertanian, tenaga suria sangat penting untuk proses tumbesaran tanaman. Ini kerana tumbuhan hijau memerlukan cahaya matahari dalam proses fotosintesis untuk membuat makanan. Di kawasan yang menerima banyak pancaran matahari sepanjang tahun seperti di kawasan tropika lembap, pelbagai jenis tanaman tropika dapat ditanam seperti getah, kelapa sawit, koko, teh dan sebagainya. Hasil tanaman ini merupakan sumber eksport yang penting bagi negara-negara tertentu dan membuka banyak peluang perkerjaan kepada penduduk seterusnya memperkembangkan lagi industri hiliran yang berkaitan. Tenaga suria juga diperlukan dalam pelbagai aktiviti pertanian seperti proses pengeringan, aktiviti pembajakan, aktiviti meracun dan penanaman. Di kawasan tropika lembap, aktiviti-aktiviti seperti ini dapat dijalankan sepanjang tahun. Sebaliknya di kawasan yang tidak menerima pancaran matahari sepanjang tahun seperti negara-negara yang berada di sekitar garis lintang sederhana dan tinggi, tempoh penerimaan bahangan suria adalah terhad, iaitu antara tiga hingga lima bulan sahaja menyebabkan pertanian terpaksa diusahakan dengan menggunakan teknik rumah kaca. Pertanian secara terbuka tertumpu kepada jenis pertanian jangka pendek sahaja seperti penamanan sayur-sayuran. Penanaman tanaman hawa sederhana giat dimajukan seperti gandum dan buah-buahan hawa sederhana. Namun kegiatan pertanian hanya dapat dijalankan pada musim bunga dan musim panas sahaja kerana pada musim sejuk kebanyakan kawasan penanaman dilitupi salji.
Selain daripada kegiatan pertanian, taburan tenaga suria juga penting dalam aktiviti perikanan. Tenaga suria amat penting dalam menentukan pertumbuhan dan pembiakan plankton. Bekalan plankton yang mencukupi akan menggalakkan pertambahan pelbagai hidupan ekosistem laut seperti pembiakan dan pertambahan pelbagai jenis ikan. Di kawasan tropika yang menerima pancaran matahari sepanjang tahun akan menggalakkan pertumbuhan plankton seterusnya menggalakkan pembiakan pelbagai jenis ikan. Keadaan ini menyebabkan kegiatan perikanan dapat dilakukan sepanjang tahun. Di kawasan yang tidak menerima pancaran matahari sepanjang tahun seperti kawasan bermusim, pembiakan plankton adalah terhad pada musim bunga dan musim panas sahaja. Tambahan pula air laut menjadi sejuk dan kebanyakan kawasan, air laut mengalami pembekuan pada musim sejuk. Fenomena ini tidak menggalakkan aktiviti perikanan dijalankan.
Taburan tenaga suria juga mempengaruhi kegiatan penternakan dijalankan. Kawasan tropika yang bersuhu panas dan menerima hujan yang lebat sepanjang tahun menggalakkan pertumbuhan padang rumput. Hal ini membolehkan kegiatan penternakan kambing dan lembu secara terbuka dapat dijalankan pada sepanjang tahun. Sebaliknya, di kawasan bermusim, kebanyakan ternakan dijalankan secara intensif, iaitu dijalankan dalam kandang bagi mengelakkan binatang ternakan mati kesejukan. Di samping itu, di Amerika Syarikat, ternakan dipindahkan mengikut tiupan angin Chinook terutama di kawasan Banjaran Rocky. Di sebelah kawasan yang menghadap angin, lazimnya berkeadaan sejuk tetapi di kawasan lindungan angin keadaannya lebih panas. Oleh itu, pengembala membawa ternakan ke kawasan yang beriklim lebih panas. Di sesetengah kawasan pula, kegiatan penternakan terbuka hanya boleh dilakukan pada musim bunga dan musim panas. Apabila tiba musim sejuk, binatang ternakan dikurung di dalam kandang dan makanan perlu disediakan.
Taburan tenaga matahari juga mempengaruhi kehidupan manusia dari segi aktiviti pelancongan. Kawasan tropika lembap yang berkeadaan panas sepanjang tahun menjadi destinasi para pelancong terutama dari negara-negara yang mengalami musim sejuk. Mereka gemar mandi di laut dan berjemur di pinggir pantai yang berpasir. Di negara yang bermusim, aktiviti pelancongan terjejas menyebabkan lebih ramai pelancong ke kawasan beriklim tropika dan juga iklim Mediterranean. Bagaimanapun, aktiviti pelancongan sukan salji meningkat di kawasan iklim sederhana dunia. Salji yang tebal akibat kekurangan bahangan suria menjadikan kawasan-kawasan pergunungan amat sesuai untuk aktiviti sukan bermain luncur ais dan sebagainya. Aktiviti di pantai tidak dapat dilakukan terutama pada musim sejuk. Ini kerana suhu yang rendah bukan sahaja menghalang aktiviti bahkan membahayakan nyawa.
Taburan tenaga suria juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi kegiatan pembalakan. Intensiti tenaga suria yang tinggi di kawasan tropika lembap menggalakkan pertumbuhan pelbagai jenis spesies kayu keras seperti jati, keruing, merbau, jelutong dan sebagainya. Ini menjadikan negara-negara beriklim tropika menjadi pengeksport utama kayu keras dunia seperti Myanmar, Thailand, Indonesia dan lain-lain lagi. Namun begitu pada musim hujan, kegiatan pembalakan menghalang kerja-kerja memunggah kayu balak kerana jalan berlumpur. Di negara-negara beriklim sederhana seperti Scadinavia, Finland dan sebagainya, keadaan yang sejuk dan bersalji memungkinkan perusahaan pembalakan dijalankan dengan lebih giat. Keadaan ini berlaku kerana balak-balak mudah dibawa keluar dengan menariknya di atas kawasan berais atau bersalji.
Kehidupan harian manusia juga dipengaruhi oleh taburan tenaga suria dari segi tempat tinggal, jenis pakaian, aktiviti rekreasi dan sebagainya. Di kawasan tropika, aktiviti sosial seperti sukan boleh dijalankan pada sepanjang tahun, manakala di kawasan bermusim aktiviti berkenaan terhad pada musim panas. Dari segi pakaian pula, penduduk di kawasan tropika perlu menggunakan pakaian nipis daripada kain kapas atau nilon pada sepanjang tahun, manakala penduduk di kawasan bermusim memilih pakaian mengikut musim, iaitu pakaian tebal pada musim sejuk dan pakaian nipis pada musim panas.

3 comments:

Unknown said...

terima kasih menyediakan blog ini..:)
mudah untuk membuat rujukan..

blogwalker5 said...

'buku rujukan' kedua sy .. thumbs up ..

Anonymous said...

Terima kasih kerana sudi melawat blog kami. Semoga bermanfaat untuk semua. Kalau ada tak faham, hubungi kami secara percuma.