Tarikh-Tarikh Penting

Tarikh Penting

  • Mac, 21 - Hari Hutan Sedunia
  • Mac, 22 - Hari Air Sedunia
  • Mac, 23 - Hari Meteorologi Sedunia
  • April, 22 - Hari Bumi
  • Jun, 05 - Hari Alam Sekitar Sedunia
  • Okt., 08 - Hari Antarabangsa Pembasmian Kemusnahan Semula Jadi
  • Okt., 22-27 : Minggu Alam Sekitar Malaysia

http://img1.blogblog.com/img/icon18_wrench_allbkg.png

Sunday, July 4, 2010

Kajian Pencemaran Sungai





















1 PENDAHULUAN
TIDAK dinafikan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara kaya dengan sumber air dapat memenuhi kehendak dan permintaan rakyat bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti harian. Bagaimanapun, proses globalisasi yang membawa kepada kemajuan negara menyebabkan masalah pencemaran alam sekitar kian berleluasa.

Masalah itu juga mengakibatkan berlakunya kerosakan sistem sungai yang membekalkan sumber air mentah kepada rakyat. Meskipun sumber air tidak pupus, tetapi air yang dapat digunakan oleh manusia dengan selamat adalah semakin berkurangan.

Setiap isu atau masalah yang timbul telah menyedarkan kita betapa seriusnya masalah pencemaran air di negara kita. Masalah pencemaran air ini tidak terhad kepada pencemaran sungai sahaja, bahkan turut melibatkan sumber air bawah tanah, kolam, tasik dan laut. Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan turut tidak terkecuali memperkatakan tentang keadaan alam sekitar di negara ini. "Apa yang berlaku kepada sumber air di negara ini amat menyentuh hati saya. Ia sangat menyedihkan," keluh Abdullah. Keluhan itu sepatutnya cukup untuk memberi mesej kepada kita betapa faktor pencemaran terutamanya yang membabitkan air kini membimbangkan. Juga bahawa air bukan sahaja berfungsi sebagai penyambung nyawa manusia tetapi melangkaui peranan ke arah proses memudahkan urusan pembangunan negara.

Pencemaran air mengakibatkan terjadinya krisis air bersih. Di samping kekurangan kesedaran sivik di antara masyarakat serta sektor perindustrian, kelemahan dalam pemantauan oleh pihak berkenaan serta kekurangan dalam pemantapan sistem pemantauan pelaksanaan undang-undang yang termaktub menyebabkan masalah pencemaran air menjadi masalah kronik yang makin lama makin parah. Perbincangan berkenaan dengan pencemaran air yang seterusnya ini tertumpu kepada pencemaran air yang berlaku di negara kita.


2 PENCEMARAN AIR DAN KATEGORINYA
Sifat dwikutub air membolehkannya melarutkan pelbagai jenis bahan. Maka sungai dan anak sungai mampu menjalankan kerja-kerja pemecahan, peresapan, pengoksigenan di hilir sungai pada zaman primitif di mana populasi manusia adalah kecil. Berikutan proses urbanisasi, sungai tidak mampu lagi memecahkan kuantiti pencemar yang dimasukkan ke dalamnya dan efluen daripada setiap pusat populasi bertambah ke dalam bekalan air pusat populasi yang lain. Air mengalir di merata tempat menjadi air kumbahan dan bolehlah kita menyatakan bahawa pencemaran air berpunca daripada manusia sendiri.

Akta Kualiti Alam Sekeliling mendefinasikan pencemaran sebagai apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizikal, haba, kimia atau biologi mana-mana bahagian alam sekeling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan bahan buangan hingga menjejaskan apa-apa kegunaan berfaedah, menyebabkan suatu keadaan yang merbahaya atau mungkin merbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam, atau kepada binatang, burung, hidupan liar, ikan atau hidupan dalam air, atau kepada tumbuhan-tumbuhan atau menyebabkan suatu pelanggaran terhadap apa-apa syarat, atau sekatan yang dikenakan ke atas sesuatu lesen yang dikeluarkan di bawah akta ini.

Pencemaran air dapat dikategorikan seperti berikut :
i. Keracunan atau toksisiti
Logam berat seperti plumbum, merkuri, kuprum, arsenik dan kromium yang digunakan dalam penyalutan timah, penyaduran dan larutan penyalutan kromium boleh bertindak sebagai penghalang metabolik atau penafasan dalam banyak organisma, dan merencat atau memusnahkan enzim yang diperlu untuk proses-proses kehidupan. Logam-logam berat ini mempengaruhi organism pengurai bersama-sama kehidupan peringkat tinggi, maka penambahannya yang berlebihan ke dalam sistem akuatik boleh memusnahkan. Pencemar-pencemar yang beracun ini diserap oleh lumpur di bawah dan dilepaskan apabila mendapan di bawah diganggu.

ii. Kemasinan atau saliniti
Ini berlaku apabila air garam dari lombong atau telaga minyak dilepaskan ke dalam air tawar. Walaupun sesetengah organisma boleh bertoleransi terhadap julat kepekatan garam tertentu, kebanyakan yang akan musnah apabila air tawar bertukar menjadi payau.

iii. Keasidan atau asiditi
Mata air yang keluar daripada rekahan bukit-bikit arang batu mengandungi partikel-partikel bitumen dan sulphur. Air yang berasid ini meningkat dengan meningkatnya pengeluaran arang batu, dan berterusan lama walaupun lombong-lombong ditinggalkan. Besi pirit ( hasil perlombongan batu arang ) akan memasuki anak-anak sungai. Sesetengah bakteria boleh mendapat tenaga dengan menukarkan ferus kepada ferik untuk pernafasan dan pembiakan. Hasil sampingan pertukaran keadaan pengoksidaan besi ini, iaitu mendakan ferik hidroksida yang berwarna kuning kemerahan mencemar tebing sungai; dan pelepasan asid sulfurik menukarkan keasidan air sungai itu dan menurunkan pH anak-anak sungai secara mendadak. pH boleh jadi di antara 4.5 ke 2.5 pada musim-musim tertentu. Sumbangan besi dan sulfat dalam kuantiti yang banyak juga mengurangkan keterdapatan oksigen dalam anak sungai. Semua vertebrat, kebanyakan invertebrat dan banyak mikroorganisma terhapus. Kebanyakan tumbuhan peringkat tinggi tiada dan hanya beberapa jenis alga dan bakteria yang tinggal.

iv. Kekeruhan atau turbidity
Bahan-bahan lengai ( inert ) dan halus senang terampai dalam air. Ini mengurangkan pemancaran cahaya dan merencat proses fotosintesis tumbuhan akuatuk dan mikroskopik. Industri porselin ( tanah liat putih ) adalah sumber pencemaran ini. Industri besi keluli menghasilkan partikel halus juga menyebabkan sungai yang dimasuki efluen menjadi merah atau hitam. Partikel-partikel terampai ini akan mendak ke dasar sungai dan menayelubungi kehidupan di bahagian bawah sungai dengan selaput yang luas. Selain itu, minyak yang boleh dilarut dengan menstabilkan emulsinya dengan detergent, apabila dilepaskan ke dalam air menyebabkan kekeruhan seperti susu. Pembakaran atau penerangan tanah juga melepaskan partikel tanah dan tanah liat, menghasilkan kelodak yang boleh memusnahkan habitat bagi larva serangga seperti “mayfly”, “caddis fly” dan “stone fly” yang merupakan sumber makanan penting bagi ikan-ikan.

v. Pendeoksigenan (Deoxygenation)
Pencemaran yang lazim adalah organik.walaupun bahan-bahan organik tidak meracuni hidupan sungai, atau mempengaruhi pH, tetapi apabila bahan organik diserang oleh bakteria dan dipecahkan menjadi kompaun yang ringkas, oksigen diperlukan. Keperluan oksigen biologi ( BOD - Biological Oxygen Demand ) menjadi tinggi. BOD adalah indeks pencemaran air yang berguna, terutama yang berkaitan dengan bebanan organik air. BOD digunakan untuk menentukan jenis hidupan yang boleh ditampung oleh sungai yang tercemar. Ikan mempunyai keperluan oksigen yang paling tinggi dan biasanya ikan air sejuk memerlukan lebih oksigen daripada ikan air panas. Invertebrate boleh bertoleransi terhadap kepekatan oksigen yang rendah dan bakteria terhadap keperluan oksigen yang lebih rendah. Dua jenis invertebrate yang bertoleransi terhadap paras oksigen telah dikenali sebagai indeks biologi bagi kesusutan oksigen. Cacing Tubifex dan larva sejenis sreangga kecil yang berwarna merah, Chironomus hidup dalam lumpur di dasar sungai. Jumlah mereka berkadaran songsang dengan kandungan oksigen dalam air. Dalam air tang tercemar teruk, populasi Tubifex dalam 20,000 individu/kaki persegi, dan dalam air yang tidak tercemar, Tubifexi mungkin tidak didapati langsung.



Eutrofikasi Air
Eutrofikasi merupakan pengkayaan bahan organik atau nutrien dalam tasik dan lain-lain dan menampung pertumbuhan yang banyak. Pelepasan nitrogen dan fosforus ke dalam air dalam kuantiti yang tinggi adalah salah satu masalah besar dalam pembuangan sisa kerana pertambahan nitrogen dan fosforus mempercepatkan proses penuaan tasik. Mikroorganisma biasanya terkawal kerana kekurangan fosforus. Apabila berlaku pertambahan kandungan fosforus dalam air, ia digunakan serta merta menyebabkan kadar pembiakan organisma yang tinggi. Fosforus adalah faktor penyebab dan nitrogen menjadi faktor penghad dan organisma seperti alga biru-hijau mengambil alih daripada plankton kerana alga tersebut bebas daripada penghad nitrogen. Ledakan populasi satu atau lebih spesies alga dipanggil blum alga ( blooms ). Satu kesan merbahaya kepada manusia adalah nitrat ditukar menjadi nitrit di dalam saluran penghadaman oleh bakteria tertentu. Nitrit bertindak dengan hemoglobin membentuk “methemaglobin” yang tidak akan mengambil oksigen menyebabkan seseorang itu sesak pernafasan dan kelemasan dan keadaan ini lebih teruk pada bayi dan kanak-kanak.

Pelepasan buangan industri dan domestik merupakan komponen utama bahan organik manakala pembukaan tanah secara besar-besaran, pembangunan yang tidak terkawal, kegiatan pembalakan dan perlombongan di kawasan tadahan mengakibatkan masalah pemendapan dan kelodakan. Sebagai contoh, pembalakan di Hutan Ulu Muda ; meliputi 123 000 ha kawasan Hutan Tadahan Air termasuk Ulu Muda, Chebar Besar, Padang Terap, Pedu Bukit Saiong dan Bukit Keramat menimbulkan kebimbangan besar bukan sahaja kepada berpuluh NGO alam sekitar, kepenggunaan, hak asasi manusia dan sebagainya juga kumpulan masyarakat petani dan nelayan juga masyarakat awam dari pelbagai latarbelakang.












Hutan tadahan air ini antara lain membekalkan air kepada sumber air utama di negeri Kedah iaitu empangan Muda, Pedu dan Ahning dan Sungai Muda dan Sungai Kedah. Kawasan tadahan air ini menjadi pergantungan kepada sumber air kepada 96 000 ha kawasan tanaman padi yang melibatkan 63 000 keluaraga petani, sumber air kepada pengguna air di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dan kepada masyarakat Industri terutamanya di Pulau Pinang dan Kulim dan tidak kurang juga fungsi hutan tadahan air tersebut sebagai habitat hidupan semulajadi yang dilihatkan sebagai satu kawasan Mega Biodiversiti yang harus dipelihara.

Pencemaran kumbahan terutamanya dari buangan domestik dan haiwan, seperti yang ditunjukkan oleh faecal coliform memberi kesan besar terhadap pencemaran organik di kawasan air daratan, dan ini telah didapati di Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak. Di samping itu, di beberapa muara sungai di negeri Johor, Kedah, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu juga tercemar. Kumbahan telah meningkat daripada yang menyamai 6.28 juta penduduk kepada yang menyamai 13 juta penduduk.

Kumbahan terus merupakan punca utama pencemaran organik memandangkan ianya tiga kali ganda melebihi jumlah beban pencemaran daripada industri dan buangan haiwan.
Ini adalah disebabkan oleh kepadatan penduduk yang tinggi, pelupusan najis manusia yang tidak teratur di kawasan setinggan, tahap pembandaran yang meningkat, kawasan penempatan padat yang banyak di sepanjang pantai dan kemudahan yang tidak mencukupi untuk pengolahan kumbahan. Di samping itu, tahap pencemaran oleh pepejal terampai terus berlaku akibat daripada aktiviti-aktiviti pembangunan tanah yang berleluasa di kawasan-kawasan berhampiran dan pedalaman.

Satu kajian ke atas sistem pengolahan dan pelupusan buangan berbahaya telah menunjukkan tidak kurang daripada 380,000 m3 buangan beracun dan berbahaya daripada kira-kira 1,000 punca dikeluarkan setiap tahun. Punca-punca industri yang menyebabkan pencemaran air terus tertumpu di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dengan Johor, Pulau Pinang dan Selangor mencatatkan bilangan hampir 50 peratus. Industri utama yang menyebabkan pencemaran tersebut ialah tekstil, getah, kertas, makanan dan minuman. Industri minyak sawit mentah dan industri pemerosesan getah asli turut terlibat dalam pelepasan beban organik.

Masalah pencemaran daripada haiwan ternakan masih lagi belum dapat diselesaikan. Beberapa negeri masih belum lagi menggubal enakmen yang diperlukan untuk mengawal dan menguatkuasakan kawalan kebersihan ke atas buangan haiwan ternakan, sementara beberapa negeri yang mempunyai undang-undang berkenaan masih belum lagi menguatkuasakannya dengan berkesan. Konsep Kawasan Ternakan Khinzir yang terkandung di dalam Dasar Pertanian Negara masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Kawalan dan kelolaan ternakan khinzir adalah perlu memandangkan industri tersebut telah menimbulkan masalah alam sekitar yang ketara terutamanya di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Di Negeri Sembilan, industri ini telah memberi kesan ke atas punca air di Sungai Linggi yang memerlukan pengolahan biologi dan kimia yang mahal sebelum airnya dapat digunakan untuk tujuan domestik. Sungai yang tercemar oleh buangan haiwan ternakan telah memberi kesan ke atas pantai dan perairannya yang mana telah menggugat Port Dickson sebagai destinasi tarikan pelancong yang terkenal. Di samping itu, pantai-pantai di beberapa kawasan di Pulau Pinang telah bertambah buruk, dan menjejaskan mutu kebersihan hasil akuakultur.

Pencemaran air tasik dan air bawah tanah juga berlaku. Pencemaran yang disebabkan oleh buangan industri yang ditanam dalam tanah serta baja kimia, racun serangga dan racun rumpai dari bidang pertanian. Penggunaan bahan kimia yang tidak terkawal telah mengurangkan dengan banyaknya ikan air tawar di beberapa kawasan. Sebagai contoh, Tasik Chini di negeri Pahang yang dibangunkan sebagai destinasi pelancongan, dan juga oleh sebab penerokaan kawasan sekitar tasik untuk sektor pertanian, di mana baja dibawa ke tasik oleh air hujan, menyebabkan tumbuhan akuatik seperti tumbuhan terapung dan tumbuhan tenggelam bertumbuh subur di kawasan tasik itu. Pembangunan berterusan tanpa kawalan berkemungkinan akan menyebabkan pencemaran pada ekosistem tasik ini.

Pencemaran laut berlaku oleh pembuangan kotoran daripada punca daratan ke laut, dan juga pembuangan dan limpahan minyak dan sisa berbahaya daripada kapal. Di samping itu, tumpahan minyak dari pelantar telah dilaporkan lebih banyak berlaku. Walaubagaimanapun, kebanyakan tumpahan minyak yang berlaku di kawasan pelabuhan telah dapat dibersihkan di mana kos pembersihannya telah dapat dipungut daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Bagi memastikan rakyat terus menikmati taraf kehidupan yang berunsur lestari, di mana tahap kesihatan kebangsaan tidak menjejaskan pembangunan dan kemajuan negara yang berterusan, kualiti air yang digunakan oleh rakyat jelata perlulah memenuhi satu piawaian yang standard. Kualiti air dinilai dengan menggunakan parameter berikut, iaitu :
i. Keperluan Oksigen Biokimia (BOD)
ii. Keperluan Oksigen Kimia (COD)
iii. Nitrogen Ammoniakal (NH3N)
iv. Pepejal Terampai (SS)
v. Nilai pH dan (pH)
vi. Oksigen Terlarut (DO)
Di samping itu, parameter lain seperti logam berat dan bakteria perlu diambilkira kerana air paip yang dibekalkan mungkin dikontaminasikan dengan kuprum, zink dan plumbum yang melebihi kepekatan maksimum yang dibenarkan mengikut Akta Pemakanan Malaysia 1985. Perlu diingatkan air paip kegunaan domestik boleh juga dikantaminasikan kerana tangki yang kotor dan berkarat.

3 Pencemaran Air : Bahan Pencemar dan Kesan-kesannya
Pencemaran air adalah salah satu penyebab penyakit kronik. Akibat meminum air yang tercemar, manusia akan dijangkit penyakit menular, penyakit ginjal, artritis, sakit kepala, tekanan darah tinggi, penyakit kulit, kanser, gangguan sistem saraf, penyakit hati, jangkitan sistem penghadaman, penyakit batu karang, batu dalam hempedu dan sebagainya. Lebih dari 70% tubuh manusia terdiri dari air. Selain Oksigen, air mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Air diperlukankan oleh semua organ dalam tubuh agar dapat berfungsi dengan sempurna seperti :
i. Proses pembuangan racun / toxin
ii. Pelicin bagi sendi-sendi
iii. Membantu proses pencernaan
iv. Menstabilkan suhu tubuh
v. Metabolisma tubuh
Berikut menunjukkan jadual berkenaan dengan warna mendapan air yang tercemar bersama dengan bahan pencemar serta kesan-kesannya terhadap kesihatan.



















4 Pencemaran Sungai
Pencemaran sungai-sungai di kawasan bandar dan luar bandar di Malaysia merupakan satu masalah alam sekitar yang bertambah serius dan sehingga sekarang masih tiada lagi suatu kaedah penyelesaian yang benar-benar efektif untuk menangani masalah ini.
Mengikut kajian hidrologi ada tiga klasifikasi pencemaran air berlaku iaitu:
Pencemaran fizikal (tidak larut dalam air seperti sampah sarap daripada logam, kertas, kaca dan kelodak)
Pencemaran biologi (seperti najis binatang menyebabkan kemunculan bakteria seperti Escherichia coli atau E. Coli, cacing nematod dan mikrob lain).
· Pencemaran kimia (bahan kimia terlarut daripada pencemar fizikal dan biologi serta logam berat dikelaskan sebagai pencemar kimia ).

Di Malaysia, punca utama pencemaran sungai berlaku disebabkan oleh kelodak dan sisa kumbahan, di samping bahan lain seperti najis binatang, sampah sarap dan logam berat seperti arsenik, kadmium raksa dan plumbum. Komposisi bahan berkenaan didapati melebihi paras yang ditetapkan oleh Piawaian Kualiti air Kebangsaan Interim Kelas II. Najis binatang menyebabkan kemunculan bakteria seperti Escherichia coli, cacing nematod dan mikrob lain dan dikenalpasti penyebab penyakit berbahaya seperti hepatitis, demam kepialu, taun, disentri, gatal kulit, kusta dan penyakit paru.

Selain itu, pembangunan di negara ini dan proses urbanisasi telah membawa kepada perubahan penggunaan tanah bagi sesuatu kawasan bagi menampung keperluan kegiatan ekonomi serta penyediaan kemudahan sosial. Akibat perubahan guna tanah yang berlaku telah mendedahkan sungai kepada pelbagai masalah yang tidak mampu ditanggung oleh sungai, yang secara langsung menyebabkan perubahan sistem sungai bukan sahaja dari segi kualiti tetapi juga kuantiti. Keadaan ini dapat dilihat berdasarkan kepada masalah yang berlaku akibat perubahan yang berlaku.

Seperti yang diketahui, sumber air mentah di negara kita kebanyakannya diperoleh terus dari sungai utama dan empangan yang dibina untuk menyimpan air. Namun, kualiti air sungai di Malaysia adalah dalam keadaan yang semakin merosot akibat daripada pencemaran alam sekitar. Kualiti air[1] adalah dianggapkan bersih untuk kehidupan biologi sekiranya paras ukuran BOD adalah 3 miligram seliter (mg/liter), kandungan pepejal terampai tidak lebih daripada 50 mg/liter dan kandungan ammonia-nitrogen tidak melebihi 0.3 mg/liter.

Kualiti Air Semakin Merosot
Tidak ramai di antara kalangan kita yang mengambil berat tentang makna sebenar kualiti bekalan air di seluruh negara yang semakin merosot kerana pencemaran berikutan kegiatan pembuangan sisa sampah dalam sistem saliran. Sepatutnya, kita sebagai pengguna merasa bimbang tentang isu ini Kita meyedari semakin hebat dan pesatnya pembangunan serta pertumbuhan penduduk, semakin buruk pula pencemaran sumber bekalan air utama khususnya sungai yang berlaku. Kualiti air sungai di negara kita secara keseluruhannya menurun.

Pencemaran Sungai Kian Kritikal
Berdasarkan statistik[2], sehingga 2005 sebanyak 13 buah sungai di negara ini didapati mengalami pencemaran teruk manakala 75 buah lagi tercemar sederhana manakala 32 buah lagi masih bersih. Antara negeri yang mengalami pencemaran sungai paling tinggi adalah Johor, Selangor dan Pulau Pinang. Statistik ini menunjukkan bilangan sungai yang tidak tercemar mengalami kemerosotan berbanding dengan statistik[3] pada Tahun 2000, di mana 12 buah sungai yang tercemar teruk, 34 buah sungai tercemar sederhana dan 74 buah sungai bersih ( Jadual 1[4]).

Sungai yang tercemar teruk ialah Sungai Dondang, Sungai Juru dan Jejawi di Pulau Pinang, Sungai Kempas, Sungai Tukang Batu, Sungai Rembah, Sungai Benut dan Sungai Pasir Gudang di Johor, Sungai Sepang, Sungai Klang dan Sungai Buloh di Selangor, Sungai Batu di Perak, Sungai Miri/Lutongdi Sarawak dan Sungai Jimah di Negeri Sembilan. Sementara sungai Sepang, Sungai Klang, Sungai Buloh, Sungai Selangor dan Sungai Golok adalah sungai-sungai yang teruk tercemar oleh kumbahan. Sungai Samit dan Sungai Tuaran di Sabah (yang tertinggi), Sungai Sedili Besar, Sungai Pahang dan Sungai Kempas didapati mengandungi kandungan logam raksa, kadmium, tembaga, plumbum serta zink yang melebihi standard yang dibenarkan.










Nota Kaki
[1] Laporan Rancangan Malaysia Ke-6, Bab 15 : Alam Sekitar, para 15.06
[2] Laporan Rancangan Malaysia Ke-8 ( 2001-2005) Bab 19 para 19.05
[3] Water Quality Management in Malaysia - Dr Zulkifli Abdul Rahman, JAS, 2000
[4] Water Quality Management in Malaysia - Dr Zulkifli Abdul Rahman, JAS, 2000



Laporan juga menyatakan bahawa 70 peratus masalah pencemaran sungai disebabkan oleh kumbahan dan pembuangan sampah. Selain itu, kelodak daripada hakisan yang juga sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti penerokaan hutan serta pelepasan sisa oleh industri juga menjadi penyumbang utama masalah pencemaran ini.








2 comments:

!!~A.M.ARFFIZ~!! said...

nice lar.....aku skrg buat assgnment mngenai pencemaran sg di selangor...n dlm sem ni aku blaja water supply n sebijik pa yg ko tlis dlm blog ko nih..yg psal dob,cod,ss n so on tuh...so,aku nk mntk tlg kau ni..smntra ada geng yg bljar mcm aku..huhu...aku nk input ttg pencemaran sg di selangor lar..ckit pn jd lar...

danila said...

a.m.arffiz... pergi ke laman web www.doe.gov.my

situ banyak cerita pasal air sungai.. and dapatkan contact person